Kadar jenayah rendah tidak boleh dipandang ringan

0

KOTA KINABALU: Walaupun Sabah mencatatkan indeks jenayah yang sangat rendah berbanding negeri lain, ia tidak boleh dipandang ringan, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman.

Katanya, Indeks Prestasi Utama (KPI) terutamanya dalam aspek penyelesaian kes adalah lebih penting untuk dicapai.

“Tahun ini, Sabah hanya berjaya mencatat sebanyak 1.23 peratus penurunan indeks jenayah dan jumlah berkenaan tidak mencapai KPI yang ditetapkan.

“Bagaimanapun, perkara terbabit bukanlah fokus yang perlu dikuatiri kerana bagi penyelesaian kes kita berjaya mencapai KPI,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini kelmarin.

Menurutnya, Sabah mencatat kedudukan kesembilan bagi indeks jenayah paling rendah seluruh negara dengan purata sebanyak 15 kes sehari.

Selain itu jelasnya, kes pecah rumah juga tidak berjaya mencapai KPI malah mencatat peningkatan sebanyak 11 peratus.

Namun katanya, jumlah berkenaan masih dianggap rendah berbanding jumlah kes pecah rumah yang berlaku di negeri-negeri lain seluruh negara.

“Kebanyakan kes ini banyak dilaporkan berlaku di kawasan pedalaman melibatkan daerah Sandakan, Lahad Datu dan Tawau.

“Kita juga banyak melakukan kerjasama dengan komuniti di kawasan berkenaan dan menggalakkan mereka membuat laporan polis jika berlaku pecah rumah.

“Justeru, semakin ramai yang sedar untuk membuat laporan polis dan ia menyumbang kepada peningkatan indeks bagi jenayah terbabit,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 54 pegawai berpangkat inspektor menerima kenaikan pangkat kepada Asisten Superintinden Polis (ASP).

Turut menerima penghargaan, seramai enam petugas media termasuklah Elton Gomez (The Borneo Post), Mohd Fairuz Mohd Yazzer (TV3), Jazarul Arif Jamaludin (RTM), Willie Jude Junaidi (Berita HArian), eric bagang (The New Sabah Times), dan Lo Teck Loong (Asia Times).

Dalam pada itu, himpunan bulanan berkenaan adalah yang terakhir bagi Jalaluddin sebelum memulakan tugas sebagai Pengarah Jabatan Integriti Pematuhan S12tandard (Jips) di Bukit Aman bermula 1 Januari depan.