Remaja suspek kes samun kedai serbaneka 24 jam ditahan

0

KOTA KINABALU: Polis menahan seorang remaja lelaki dipercayai terlibat kes samun kedai serbaneka 24 jam dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Tanjung Aru Lama, pada kira-kira jam 2 petang, Isnin lepas.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP M.Chandra berkata remaja berusia 17 tahun itu juga masih dalam tempoh perbicaraan bagi dua kes samun kedai serbaneka 24 jam, pada April lepas.

“Hasil serbuan itu, polis turut merampas beberapa barangan termasuk telefon bimbit, sebilah pisau dan beg silang yang digunakan suspek sewaktu melakukan samun pada Ahad lepas,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata dengan tertangkapnya remaja berkenaan, polis turut mengenal pasti seorang lagi rakannya yang masih bebas berusia 17 tahun dikenali sebagai Ijam dari Kampung Pondo, Pulau Gaya.

Dalam kejadian itu, Chandara berkata kedua-dua suspek remaja berkenaan menyamun premis yang terletak di Api-Api Centre pada jam 1.45 petang dan melarikan wang tunai sebanyak RM800.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes berkenaan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Albert Basiri melalui 019-8306586 atau mana-mana balai polis berdekatan. — Bernama