Adenan janji Sarawak akan kekal negeri bebas tol

0

Oleh Agnes Tugong  dan Siti Aisyah Ramli//

SIMBOLIK: Adenan (lima kanan) melakukan simbolik pemansuhan rasmi Plaza Tol Jambatan Tun Salahuddin serentak dengan kiraan detik Ambang Tahun Baharu 2016 bersama tetamu kenamaan yang lain.

SIMBOLIK: Adenan (lima kanan) melakukan simbolik pemansuhan rasmi Plaza Tol Jambatan Tun Salahuddin serentak dengan kiraan detik Ambang Tahun Baharu 2016 bersama tetamu kenamaan yang lain.

KUCHING: Sarawak kini negeri bebas tol sepenuhnya dengan pemansuhan operasi kutipan tol di Plaza Tol Jambatan Tun Salahuddin, Petra Jaya di sini serentak dengan kiraan detik ambang Tahun Baharu 2016.

Pemansuhan rasmi tol ini telah disempurna oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem disaksikan kira-kira 15,000 rakyat yang membanjiri plaza tol ini bagi meraikan detik bersejarah ini.

Dalam ucapannya, Adenan berkata dengan pemansuhan tol ini maka tertunailah janji ketiga beliau kepada rakyat di negeri ini untuk menjadikan Sarawak sebagai negeri bebas tol di Malaysia.

“Janji pertama saya iaitu untuk memansuhkan kutipan tol di Jambatan Lanang di Sibu telah saya tunaikan pada bulan Mei lepas diikuti janji kedua memansuhkan tol di Jambatan ASEAN Miri dan saya tunaikan Jun 2015.

“Sekarang ini  tengah malam 31 Disember), saya akan menunaikan janji ketiga saya iaitu memansuhkan kutipan tol di Jambatan Tun Salahuddin.

“Saya berani janji, selagi saya adalah Ketua Menteri, tidak akan ada tol di negeri ini termasuk Lebuhraya Pan Borneo Highway sepanjang lebih 1,000 kilometer (km),” ujarnya.

Tambah Adenan selain menunaikan janji untuk memansuhkan tol, beliau sebelum ini juga telah menunaikan janji beliau untuk menurunkan kadar tarif elektrik kepada pengguna domestik dan komersial di negeri ini.

Begitu juga dengan kadar caj perkhidmatan feri yang mana kini hanya dikenakan bayaran RM1.00 sahaja bagi semua perkhidmatan di seluruh Sarawak.

“Banyak perkara yang saya lakukan dalam tempoh dua tahun ini apa lagi jika saya diberikan tempoh lima tahun lagi.

“Saya akan tuntut hak Sarawak dalam Perlembagaan Persekutuan dan saya akan tuntut kenaikan bayaran royalti minyak dan gas daripada Kerajaan Pusat,” tambahnya.

Pada majlis itu Adenan turut mengucapkan terima kasih kepada Zecon Toll Concessionaire Sdn Bhd yang bekerjasama dengan kerajaan negeri memansuhkan operasi kutipan tol di plaza tol milik mereka.

Penghargaan turut diberikan kepada Shin Yang Group of Companies dan lain-lain syarikat terlibat dalam pemansuhan kutipan tol di tiga plaza tol di negeri ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubunagan Dato Sri Michael Manying Jawong,menteri kabinet, menteri  muda, ketua jabatan serta yang lain.