Adenan: PRN semakin dekat

0

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem membayangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan diadakan pada bulan Mac depan.

Bayangan awal mengenai bila PRN akan diadakan ini dinyatakan oleh beliau ketika berucap pada kiraan detik ambang Tahun Baharu 2016 dan perasmian simbolik majlis Sarawak bebas tol tengah malam kelmarin.

“PRN akan diadakan dalam tempoh tiga bulan lagi. Saya mahu anda sebagai rakyat menunai janji anda kepada saya dan Kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Jika anda memberi saya tempoh lima tahun lagi saya pasti akan menunaikan janji saya kepada anda,” kata Adenan di hadapan kira-kira 15,000 penduduk hadir meraikan detik bersejarah itu.

Pada majlis itu, Adenan merangkap Pengerusi BN Negeri turut mengumumkan tiga calon yang bertanding bagi kerusi N.5 Demak Laut, N.7 Samariang dan N.8 Satok.

Kesemua tiga calon merupakan penyandang sedia ada iaitu Dr Hazland Hipni (Demak Laut), Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali (Samariang) dan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg (Satok) selain beliau sendiri di N.3 Tanjong Datu.

Dalam pada itu PRN kali ini akan menyaksikan pertambahan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu daripada 71 kepada 82 kerusi.

Sebelas kerusi baharu diluluskan ialah Batu Kitang, Stakan, Serembu, Triboh, Gedong, Kabong, Tellian, Selirik, Murum, Samalaju dan Long Lama.

Daripada 82 kerusi itu, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) telah mengesahkan akan bertanding di 45 kerusi dan lima daripadanya merupakan kerusi DUN baharu.

Manakala parti komponen BN lain iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) masih dalam perbincangan agihan kerusi termasuk kerusi baharu.

Dalam perkembangan berkaitan, Adenan turut meminta rakyat menolak parti luar seperti DAP, PKR dan PAS daripada bertapak di negeri ini.

“Perdana Menteri dan pemimpin tertinggi UMNO di Semenanjung Malaysia telah bersetuju tidak akan bertapak di Sarawak.

“Jika UMNO tidak kita benarkan memasuki negeri ini begitu juga dengan DAP, PKR dan PAS.

“Siapa lebih tahu mengenai Sarawak daripada orang Sarawak sendiri. Kita mampu mengurus negeri kita sendiri tanpa campur tangan pihak luar,” tegasnya.