Pantang ditegur

2
SIASAT: Dua anggota polis menjalankan siasatan di rumah pengadu.

SIASAT: Dua anggota polis menjalankan siasatan di rumah pengadu.

MASIH SAKIT: Ibu pengadu menunjukkan luka di paha kanannya akibat dibaling dengan bata.

MASIH SAKIT: Ibu pengadu menunjukkan luka di paha kanannya akibat dibaling dengan bata.

PECAH: Cermin belakang dan plat pendaftaran kereta keluarga pengadu didapati pecah.

PECAH: Cermin belakang dan plat pendaftaran kereta keluarga pengadu didapati pecah.

Kumpulan remaja suka buat bising baling bata ke rumah warga emas.

Oleh  Michael Ubam //

SIBU: Seorang ibu berumur 60 tahun dan anak lelakinya, 35, berdepan detik cemas apabila sekumpulan remaja lelaki berlagak samseng bertindak membaling bata ke arah rumah mereka di Taman Kristal, Sibu Jaya malam kelmarin.

Insiden tersebut dipercayai tercetus susulan rasa tidak puas hati remaja terbabit terhadap mangsa yang  pernah pergi ke rumah salah seorang remaja berkenaan untuk meminta mereka tidak membuat bising di kawasan berhampiran rumah pengadu pada waktu malam.

Menurut pengadu, mereka sekeluarga sering berasa terganggu dengan bunyi bising disebab bunyi ekzos motosikal kumpulan remaja yang berpelesiran pada tengah malam.

“Saya pernah pergi ke rumah salah seorang daripada remaja terbabit meminta mereka agar tidak mengganggu ketenteraman awam di kejiranan kami sebulan lepas,” kata pengadu ketika ditemui semalam.

Katanya, tegurannya mendapat tindak balas negatif malah kumpulan itu meminta pengadu supaya berpindah ke tempat lain jika tidak mahu mendengar bunyi bising.

Menurut pengadu, dia juga cuba dilanggar seorang lelaki tidak dikenali yang menunggang motosikal semasa berada di hadapan rumahnya sekitar jam 11 malam kelmarin.

Susulan itu, pengadu terus diserang beberapa remaja sebelum memukulnya.

“Dalam keadaan cemas, saya terus melarikan diri dan dikejar sehingga ke hadapan rumah. Saya terus menutup pintu pagar rumah tetapi kumpulan remaja terbabit bertindak membaling beberapa ketul bata ke arah rumah,” katanya.

Ibu mangsa ketika keluar dari pintu depan rumah selepas mendengar bunyi kecoh di luar turut terkena balingan menyebabkan pahanya luka.

Menurut pengadu, kekecohan itu berlarutan lebih 10 minit sebelum kumpulan samseng itu melarikan diri.

Selepas kejadian itu, pengadu mendapati kedua-dua lampu pagar rumah, cermin belakang kereta dan plat pendaftaran kereta pecah.

Setelah keadaan reda, pengadu dan ibunya pergi ke Balai Polis Sibu Jaya untuk membuat laporan polis sekitar jam 1 pagi.

Pengadu juga mengalami lebam di dahi dan luka di kedua-dua belah kakinya akibat tindakan samseng remaja terbabit.

Bertindak daripada laporan, pasukan polis telah pergi ke rumah pengadu untuk menjalankan pemeriksaan dan siasatan.

Terdapat beberapa serpihan batu-bata dan serpihan pasu ditemui di lantai di hadapan rumah dipercayai dibaling suspek terbabit.

Difahamkan, pihak polis sedang mengesan suspek-suspek yang dipercayai tinggal di kawasan berhampiran dan taman perumahan yang sama namun belum ada tangkapan sehingga berita ini ditulis.