Remaja cedera dibelasah sekumpulan lelaki di MJC

0

KUCHING: Seorang remaja lelaki dikejar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) selepas cedera dibelasah sekumpulan lelaki di sebuah premis hiburan di bandar baharu Batu Kawa (MJC) di sini kelmarin.

Menurut sumber, mangsa berusia 15 tahun itu semasa kejadian dikatakan baharu tiba di premis tersebut apabila didatangi sekumpulan lelaki yang kemudian terus membelasahnya sekitar jam 11 malam.

Mangsa bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri dan segera mendapatkan pertolongan keluarganya sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Mangsa mengalami kecederaan di badan serta lebam di mukanya dipercayai akibat ditumbuk sekurang-kurangnya tujuh individu yang mungkin dikenali mangsa,” kata sumber.

Sehingga berita ini ditulis semalam, difahamkan mangsa telah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di HUS dan punca sebenar serangan belum diketahui.

Laporan polis berhubung kejadian juga telah dibuat oleh mangsa dan siasatan lanjut pihak polis masih dijalankan.