Jual produk pelancongan Sarawak di Singapura

0

Semua pakej produk pelancongan dari Sarawak ditawarkan pada harga berpatutan

PROMOSIKAN SARAWAK: Abang Johari (dua kanan) bergambar bersama ejen pelancongan Singapura pada majlis itu kelmarin.

PROMOSIKAN SARAWAK: Abang Johari (dua kanan) bergambar bersama ejen pelancongan Singapura pada majlis itu kelmarin.

KUCHING: Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg menggesa ejen pelancongan di Singapura merebut peluang bagi menjual produk pelancongan Sarawak kepada pelanggan mereka.

Tambahnya, Sarawak dan Singapura bukan sahaja negara jiran malah semua pakej produk pelancongan dari Sarawak ditawarkan pada harga berpatutan.

“Produk khusus seperti sukan memancing, pengembaraan dan alam semula jadi serta kebudayaan unik pasti akan membuat pelancong Singapura berasa tertawan tetapi belum dieksploitasi sepenuhnya oleh ejen pelancongan mereka.

“Secara peribadi, saya tahu terdapat kumpulan kaki pancing dari Singapura yang selalu datang ke Kuching untuk memancing pada hujung minggu.

“Jika lebih banyak pakej untuk kaki pancing ditawarkan di Sarawak maka lebih banyak kaki pancing akan ke sini secara kerap,” tegasnya dalam kenyataannya pada Majlis Penghargaan dan Rangkaian STB di Singapura kelmarin.

Begitu juga, pengalaman pengembaraan yang boleh diselitkan dalam program pemuliharaan dan pengalaman kebudayaan sekali gus akan memberi ekspresi yang lebih baik mengenai produk tersebut.

Ejen pelancongan di negeri ini juga dinasihati agar lebih berfikiran kreatif dalam mempromosikan produk pelancongan yang kian kompetitif ini dengan menawarkan pelbagai pakej yang berbeza untuk menarik lebih ramai pelawat ke Sarawak.

Beliau sebelum itu turut menyatakan rasa senang dengan promosi awal yang dijalankan pihak Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) di Singapura kerana pengunjung dari negara itu turut menyumbang kepada peningkatan sektor pelancongan di negeri ini.

Abang Johari yang turut ditemani Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip dan enam ejen pelancongan serta pengusaha hotel dari Sarawak mengadakan pertemuan dengan Presiden Persatuan Konvensyen Singapura dan Penganjur serta Pembekal Pameran Tan Guan Heng.

Ketua Pegawai Eksekutif Silk Air Leslie Thng turut menyertai rombongan itu.