Tak jadi memancing selepas temui mayat

0
BEDAH SIASAT: Mayat tersebut tiba di HUS untuk proses bedah siasat semalam.

BEDAH SIASAT: Mayat tersebut tiba di HUS untuk proses bedah siasat semalam.

KUCHING: Tiga kaki pancing terpaksa membatalkan hasrat untuk memancing apabila terhidu bau busuk sebelum menemui sesuatu seakan-akan mayat manusia terapung di sungai berdekatan Bandar Baru Samariang di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Superintenden Ernest John semasa dihubungi memberitahu anggotanya telah dikerahkan ke tempat kejadian dan mengesahkan objek tersebut adalah mayat manusia sekitar jam 3.45 petang.

“Balai Polis Sekama telah menerima panggilan daripada tiga individu ini dan anggota kita yang bergegas ke tempat kejadian mengesahkan ia adalah mayat dipercayai seorang lelaki yang tidak sempurna sifat.

“Mayat dipercayai berada di situ lebih kurang empat hingga lima hari dengan keadaan berulat serta bogel dan kaki kanannya juga telah tiada,” kata beliau yang turut berada di lokasi kejadian.

Menurut beliau, mayat tersebut yang belum diketahui identitinya telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan selanjutnya.

“Kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat.

“Justeru kita mohon, orang awam yang ada kehilangan anggota keluarga untuk tampil membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran,” katanya lagi.