Sabah negeri pertama lancar indeks belia sendiri

0

KOTA KINABALU: Sabah muncul negeri pertama di negara ini melancarkan indeks belianya sendiri selepas pelancaran Indeks Belia Malaysia (IBM) pada 8 September lalu oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Upacara pelancaran indeks yang dinamakan, Indeks Belia Sabah (IBS) 2015, yang turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussin, Khairy dan Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Dengan adanya IBS, ia akan menjadi penanda aras bagi mengukur tahap kesejahteraan hidup belia di Sabah serta menyediakan input bagi penggubalan polisi atau dasar untuk pembangunan holistik golongan berkenaan.

Indeks itu juga akan memandu pelan tindakan bagi meningkatkan kesejahteraan hidup belia di Sabah serta sebagai indikator bagi mengukur pencapaian Dasar Belia Malaysia dan Dasar Belia Sabah.

Musa dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) serta Kementerian Belia dan Sukan atas komitmen tinggi serta kerjasama pintar mereka dalam menjayakan pelancaran IBS.

Katanya kerajaan negeri akan terus menyokong sebarang usaha menggembleng kemahiran dan kepakaran belia yang merupakan aset berharga untuk menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negeri Sabah.

Menurutnya selaras dengan prinsip kerajaan negeri yang mesra belia dan bersesuaian dengan keperluan ‘penurunan kuasa’ serta konsep ‘Dari Belia Untuk

Belia’, kerajaan negeri akan terus memberi kepercayaan dan mengupayakan Majlis Belia Sabah (MBS) bersama 14 anggota gabungannya dalam merangka dan melaksanakan program belia yang sesuai dengan aspirasi belia masa kini.

“Bagi merealisasikan Agenda Pembangunan Memperkasa Belia dan Mempersiapsiaga Modal Insan, kerajaan negeri Sabah dalam Bajet 2016 telah menyediakan peruntukan lebih RM200 juta kepada pelbagai agensi untuk melaksanakan program-program latihan, pembelajaran, kemahiran, keusahawanan, pemantapan jati diri, peradaban serta ‘peningkatan keupayaan dan semangat berpasukan’,” katanya.

Katanya pihak kerajaan negeri akan terus menyediakan ruang dan peluang untuk memperkasa belia atas kesedaran bahawa pembangunan belia adalah satu proses berterusan yang perlu digembleng secara bersepadu berpaksikan potensi kepimpinan, kepakaran dan keusahawanan yang perlu diperhebatkan dari semasa ke semasa.

Musa berkata pihak kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk memberi sokongan kepada belia yang mempunyai komitmen tinggi untuk memajukan diri termasuk menyediakan tapak tanah untuk aktiviti pertanian kepada mereka yang berminat dalam sektor keusahawanan tani.

Sementara itu, Khairy mengucapkan tahniah kepada Sabah kerana menjadi satu-satunya negeri di negara ini yang membangunkan indeks belianya sendiri serta melaksanakan indeks berkenaan.

“Indeks ini akan menjadi rujukan kerajaan negeri dan agensi-agensi di bawah kerajaan persekutuan dan negeri untuk kita menyediakan perancangan dan program yang lebih menepati sasaran.

Kalau tidak, kita seperti mana yang saya pernah sebut dahulu semasa pelancaran IBM, kita sentiasa meneka dalam kegelapan. Kita buat program yang tidak ada apa-apa tujuan yang tidak kena tepat pada sasaran,” katanya kepada pemberita.

Beliau menggalakkan negeri-negeri lain untuk mewujudkan indeks belia masing-masing di samping IBM bagi membolehkan mereka memahami secara lebih mendalam berkenaan belia berdasarkan indikator tertentu dan memandu mereka merangka program sesuai. — Bernama