Sarawak tuan rumah Kejohanan YoYo Malaysia 2016

0
HEBAT: Adi (kiri) menunjukkan bakatnya bermain YoYo di hadapan Abdul Karim (dua kanan), Pengurus Besar Plaza Merdeka, Cheah Kheng Mun (kanan), Ryan (tiga kanan) di Kuching kelmarin.

HEBAT: Adi (kiri) menunjukkan bakatnya bermain YoYo di hadapan Abdul Karim (dua kanan), Pengurus Besar Plaza Merdeka, Cheah Kheng Mun (kanan), Ryan (tiga kanan) di Kuching kelmarin.

KUCHING: Sarawak dipilih sebagai tuan rumah bagi Kejohanan YoYo Malaysia 2016 yang dijadual berlangsung pada 3 hingga 5 Jun tahun ini.

Kejohanan memasuki edisi ke-11 tahun ini bakal menghimpunkan lebih 100 pemain yoyo seluruh negara.

Menteri Muda Belia, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kerajaan negeri menerusi Kementerian Pembangunan Sosial menyokong penuh kejohanan itu.

Malah, beliau berharap kejohanan itu dapat diperluaskan seluruh Sarawak termasuk peringkat sekolah rendah dan menengah.

“Permainan yoyo merupakan satu acara sukan yang boleh dipromosikan kepada golongan remaja bagi mengelakkan penglibatan mereka dalam aktiviti tidak berfaedah seperti merempit.

“Secara peribadi saya melihat sukan ini amat menarik untuk dipromosikan dan kerajaan negeri memberi sokongan penuh bagi memastikan kejayaan kejohanan ini,” katanya pada sidang media mengenai kejohanan tersebut di sini kelmarin.

Mengulas lebih lanjut kejohanan itu, Pengerusi Kelab Yo-Blitz Kuching, Ryan Han berkata ia anjuran bersama Persatuan Rakan Bestnye Sarawak.

Sebelum ini, kejohanan ini hanya diadakan di Kuala Lumpur dan tahun ini Kelab Yo-Blitz Kuching berjaya membida kejohanan ini diadakan di Sarawak.

Juara kejohanan tahun lalu di Kuala Lumpur, Adi Hisham Moktar merupakan anak jati Kuching, Sarawak akan mempertahan gelaran juara pada kejohanan akan datang.

Selain kejohanan peringkat kebangsaan, kelab itu turut merancang menganjurkan kejohanan lebih besar di Sarawak iaitu Kejohanan YoYo Asia Pasifik pada 2017.

Kejohanan itu melibatkan penyertaan peserta dari 25 negara termasuk Singapura, Indonesia, China, Hong Kong, Australia dan Jepun.