Ahli, penyokong PKR Machan hantar petisyen tolak pencalonan semula Chen

0

MIRI: Ahli dan penyokong PKR Machan sebulat suara mahu menghantar petisyen menolak pencalonan semula George Chen di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

Jurucakap kumpulan tersebut, Matthew Baba berkata pihaknya mengadakan pertemuan di Machan Sabtu lalu, bersetuju mengumpul tandatangan sokongan penduduk dan ahli parti mahu kerusi DUN Machan diwakili calon tempatan serta berbangsa Iban dan bukan calon luar dan bukan Iban.

“Hasil pertemuan bersama penyokong dan ahli PKR peringkat akar umbi, ramai tidak bersetuju dengan pilihan pemimpin PKR Negeri terutama pengurus pilihan rayanya mahu Chen bertanding di Machan meskipun beliau dipilih berdasarkan KPI cemerlang.

“Namun, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pemilihan berdasarkan KPI bukan perkara penting menjamin kemenangan PKR di Machan.

“Sebaliknya, calon pilihan pengundi dan rakyat boleh menjadi antara faktor kemenangan,” katanya sambil memberitahu bahawa calon tempatan menjadi pilihan ramai ialah ahli muda berpendidikan tinggi berasal dari Hulu Machan, Semawi Paong.

Menurut Matthew, pihaknya baharu kembali dari Machan petang kelmarin turut membawa bersama senarai tandatangan yang akan diserahkan kepada Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR dalam masa terdekat.

Beliau mendakwa bekas pemanca dan masyarakat Cina Machan turut menyokong petisyen menolak pencalonan semula Chen yang pernah tewas di kerusi tersebut dan meletakkan calon tempatan, Semawi.

“Bukan mahu memperkecil kemampuan Chen namun jika PKR mahu menang kerusi Machan mereka perlu akur dengan pilihan penduduk mahu calon tempatan kerana pengundi di Machan hampir 96 peratus adalah kaum Iban.

“Jika PKR berkeras mahu meletakkan Chen di Machan, ia menjejaskan peluang PKR untuk menawan kerusi itu buat julung kalinya kerana PKR perlu akur bahawa isu calon luar akan menjadi topik ‘serangan mudah’ calon Barisan Nasional (BN),” tambahnya.

Katanya calon BN pasti calon tempatan memperguna isu ‘calon luar’ menentang PKR selain isu ‘calon bukan Iban’ yang mahu memperjuang masyarakat Iban dan masalah berkaitan budaya kaum itu.

“Isu-isu ini, jika ‘dimainkan’ oleh BN sedikit sebanyak menarik pengundi khususnya di atas pagar cenderung memilih BN,” jelas beliau.