Kolej Vokasional perlu kemudahan canggih

0

Oleh Jessica Jawing//

 

KUCHING: Kolej Vokasional perlu dilengkapi dengan kemudahan serta persekitaran canggih untuk mencerahkan peluang pekerjaan para pelajarnya selepas menamatkan kursus masing-masing.

Pengarah Kolej Vokasional Kuching Flora Imor Phillip berkata, dengan memperlengkapkan kemudahan serta teknologi itu ia memberi kesan kepada pelajar untuk lebih berdaya saing dari segi pengetahuan bukan sahaja secara tempatan, tetapi pada tahap antarabangsa.

“Jika kerajaan mahu kita menjadi landasan dalam melahirkan tenaga kerja mahir maka mereka perlu serius melabur dalam teknologi bersesuaian dengan negara lain di dunia agar kita tidak ketinggalan.

“Kita mempunyai kementerian khas bertanggungjawab bagi memastikan kita melahirkan modal insan berkemahiran dalam kita menuju ke arah ekonomi berpendapatan tinggi termasuk dalam Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE),” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa menghadiri Hari Pendaftaran Kolej Vokasional Kuching Ke-5 2016 di dewan kolej di Batu Lintang di sini, semalam.

Flora berkata, pihaknya mahu mewujudkan peluang terbaik kepada pelajar mereka, justeru transformasi kemudahan dan prasarana selari peredaran masa mencerminkan pelaburan modal insan berkemahiran ke arah menjadi sebuah negeri industri.

Beliau yakin pendidikan vokasional adalah langkah ke hadapan bagi kebanyakan belia terutama mereka yang mahir secara amali selain permintaan kerja tinggi.

“Sehubungan itu, kita perlu melabur dalam teknologi yang lebih baik bagi meningkatkan pengetahuan belia kita yang berpotensi dalam kemahiran.

“Mungkin ada di antara mereka ini baik atau cemerlang dalam akademik namun yang lain menjurus kepada bidang amali dan kita memerlukan modal insan sebegini untuk negara,” tegasnya.

Flora berkata, kolej menyediakan sukatan pelajaran yang komprehensif kepada pelajar agar mereka boleh diambil bekerja di pasaran selain mengajar mereka kemahiran keusahawanan.

“Segala yang kita ajar adalah mengikut pematuhan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerajaan Negara (NIOSH) dan diluluskan Kementerian Sumber Manusia,” katanya.

Setakat ini, bilangan pelajar yang sedang mengikuti program diploma vokasional ialah 572 orang dan tempoh pengajian adalah empat tahun (lapan semester) untuk memperoleh Diploma Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia.

Pada semester keempat, pelajar menduduki peperiksaan Bahasa Melayu setara SPM.

Kolej Vokasional Kuching di Batu Lintang adalah kolej rintis transformasi pendidikan vokasional bagi Sarawak.

Kini 137 pelajar tahun akhir Kolej Vokasional Kuching sedang menjalani latihan industri selama empat bulan di pelbagai sektor awam dan swasta.