Sistem digital U-customs akan ganti Sistem Maklumat Kastam

0
PERIKSA BARISAN: Dayang Fatimah (tengah) diiringi bagi memeriksa perbarisan pegawai penguat kuasa kastam semasa sambutan Hari Kastam Sedunia di Kuching, semalam.

PERIKSA BARISAN: Dayang Fatimah (tengah) diiringi bagi memeriksa perbarisan pegawai penguat kuasa kastam semasa sambutan Hari Kastam Sedunia di Kuching, semalam.

KUCHING: Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan menamatkan penggunaan Sistem Maklumat Kastam (SMK) yang berusia lebih 30 tahun dan digantikan dengan sistem digital U-customs, kata Ketua Pengarah Kastam Malaysia Datuk Seri Khazali Ahmad.

Jelasnya, apabila sistem U-customs terlaksana sepenuhnya nanti, semua urusan perkastaman bakal berlaku di hujung jari, di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa sahaja.

“Apa yang utama ialah impak teknologi U-customs terhadap pungutan hasil, yang mana kita bukan sahaja akan berkata negara menerima hasil kastam ‘tujuh hari seminggu’, bahkan sistem digital baharu ini membolehkan negara menerima hasil ‘pada setiap saat yang berdetik’.

“Ini kerana, menerusi U-customs, pembayaran cukai berlaku secara maya dan tidak lagi terhad kepada waktu buka dan tutup kaunter juruwang di pejabat kastam sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan yang dibacakan oleh Pengarah Kastam Negeri Datuk Dayang Fatimah Johari sempena sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-34 2016 yang disambut serentak di seluruh negara semalam.

Manakala dalam pengurusan sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pula, kastam mengguna pakai sistem myGST mulai tahun lepas, ujarnya.

“Kedua-dua sistem myGST dan U-customs bukan penamat usaha pemodenan yang kita lakukan terhadap operasi kastam.

“Sebaliknya, perkhidmatan digital kastam akan dilaksanakan secara progresif dan berterusan, dengan cara menambah baik sistem sedia ada dari semasa ke semasa serta memperluaskannya kepada urusan pentadbiran pejabat serta pengurusan kakitangan jabatan,” jelasnya.

Beliau juga berkata transformasi sistem itu juga membuktikan pengurusan kastam berada pada landasan yang betul selain bergerak ke arah memenuhi keperluan masa kini dan masa depan, khususnya tuntutan kerajaan dan rakyat.

Terdahulu, dalam perkembangan lain, Dayang Fatimah menerusi kenyataan yang dikeluarkan jabatan semalam berkata, Kastam Sarawak menerusi Bahagian Penguatkuasaan berjaya merampas barangan seludup bernilai RM 7.5 juta sepanjang 2015.

Dedahnya, jumlah rampasan tersebut melibatkan cukai berjumlah RM 20.5 juta daripada perolehan kes sebanyak 605 hasil pelbagai penguatkuasaan yang dijalankan.

“Antara barangan utama yang dirampas ialah kenderaan dengan nilai rampasan sebanyak RM2.2 juta serta cukai sebanyak RM2.4 juta, diikuti rokok dengan nilai sebanyak RM 1.7 juta dan cukai sebanyak RM 15.7 juta.

“Selain itu, nilai rampasan minuman keras pula ialah sebanyak RM729,929.97 dengan cukai sebanyak RM1.8 juta manakala nilai rampasan mercun dan bunga api adalah sebanyak RM314,069.21 dengan cukai sebanyak RM 196,303.87,” jelasnya.

Sementara itu, Dayang Fatimah turut berkata seramai 169 individu didakwa di mahkamah dan didapati bersalah kerana melakukan aktiviti-aktiviti yang melanggar undang-undang yang ditadbir oleh kastam.

Katanya jumlah denda yang dikenakan bagi pelbagai kesalahan itu berjumlah RM 669,539.80.