Sarawak kempunan guna khidmat Shahrul

0

KUCHING: Sarawak mungkin terpaksa melupakan hasrat menggunakan khidmat penyerang, Shahrul Azwari Ibrahim selepas Jawatankuasa Status Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membatalkan kontrak yang ditandatangani pemain itu bersama dengan skuad Bujang Senang semalam.

Jawatankuasa Status FAM menerusi laman ‘Facebook’ rasminya semalam mengesahkan kontrak Shahrul dan Sarawak terbatal kerana tidak mengikut tata cara ditetapkan.

Badan bola sepak negara itu juga memutuskan Shahrul wajib balik ke skuad Kelantan kerana aktiviti bola sepaknya bermula di sana.

Serentak dengan itu, Shahrul dan Kelantan juga diarahkan berbincang dalam masa tujuh hari dari tarikh terma keputusan diterima sekiranya khidmat pemain itu masih diperlukan oleh skuad Kelantan.

Bagaimanapun, Sarawak boleh mengadakan perbincangan dengan Kelantan dalam masa tujuh hari dari tarikh terma keputusan diterima jika masih berhasrat mendapatkan khidmat Shahrul.

Pengurus Pasukan Sarawak, Abdullah Julaihi bagaimanapun gagal dihubungi semalam untuk mendapatkan maklum balas berhubung perkara itu.

Sarawak sedang dalam jelajah pra-musim di Vietnam sebagai persiapan menjelang sepak mula Liga Super pada 13 Februari ini.