80 rumah setinggan musnah terbakar

0

Kira-kira 1,000 orang penduduk di Airport Lama Tawau tinggal sehelai sepinggang

TAWAU: Kira-kira 1,000 penduduk di Airport Lama Tawau, di sini tinggal sehelai sepinggang apabila 80 buah rumah setinggan di kawasan itu musnah dalam satu kebakaran, pagi semalam.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Tawau, Ismaidi Ismail ketika ditemui pemberita di tempat kejadian berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian kebakaran itu pada jam 9.41 pagi semalam.

“Sebaik menerima panggilan, seramai 27 anggota termasuk pegawai bomba yang diketuai oleh saya sendiri terus ke lokasi kejadian bersama lima jentera termasuk kenderaan serbaguna,” katanya.

Ismaidi berkata pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak ke kawasan lain pada jam 11.10 pagi, walaupun berhadapan masalah tekanan air yang rendah di kawasan terbabit.

Katanya, ketika ini anggota bomba masih berusaha memadamkan api sepenuhnya dengan mendapatkan bantuan pili bomba dari Sekolah Kebangsaan Bandar dan Masjid Raya, selain menyedut air kolam di kawasan Taman Muhibbah, yang mana, jarak antara ketiga-tiga kawasan adalah hampir satu kilometer dari lokasi kejadian.

Ismaidi berkata seorang warga tua yang menghadapi sesak nafas dikejarkan ke hospital oleh pasukan bomba.

Beliau berkata pasukan polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), pasukan perubatan serta orang ramai turut membantu memadamkan api dan menyelamat mangsa kebakaran.

Pihaknya sedang menyiasat anggaran kos kerugian kebakaran itu, katanya.

Ketua Polis Daerah ACP Fadil Marsus yang mengesahkan kejadian itu berkata sejurus menerima maklumat, beliau telah mengarahkan anggotanya di semua unit untuk ke lokasi kejadian bagi menghulurkan bantuan.

Fadil turut melahirkan penghargaan kepada orang ramai atas kerjasama diberikan dalam membantu memadamkan api, katanya.

Sementara itu, seorang mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Andi Maladika, 36, berkata kejadian kebakaran itu merupakan kali kelima sejak 1987.

Beliau dan keluarganya yang tinggal di kawasan itu sejak 1977 berkata kejadian kebakaran semalam adalah kali keempat menimpa mereka.

“Rumah saya terlibat dalam kebakaran pada tahun 1987, 1989, 2006 dan hari ini (semalam). Kejadian kebakaran pada tahun 2010 rumah saya tidak terlibat, sebab kebakaran itu berlaku di sebelah jalan (rumah hadapan),” katanya. — Bernama