Masih belum memuaskan

0

Sarawak perlukan banyak perlawanan persahabatan selepas ini: Rajagobal

// Oleh Harry Ilias //

KUCHING: Empat kemenangan daripada lima perlawanan pramusim yang diharungi skuad Sarawak setakat ini masih belum memuaskan ketua jurulatihnya, Datuk K Rajagobal.

Menurut jurulatih berusia 59 tahun itu, masih ada ruang perlu diperbaiki untuk menjadikan Sarawak pencabar utama bagi memburu kejuaraan pada kempen Liga Malaysia musim ini.

“Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan aksi semua pemain sepanjang perlawanan jelajah pramusim ini setakat ini. Corak permainan pasukan kita semakin meningkat dan keserasian antara pemain-pemain juga semakin baik.

“Namun, masih ada ruang perlu kita perbaiki bagi memantapkan skuad sarawak musim ini untuk menghadapi saingan Liga Malaysia 2016 ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, Sarawak masih memerlukan lebih banyak perlawanan persahabatan selepas ini bagi meningkatkan prestasi semua pemain menjelang sepak mula Liga Super pada 13 Februari depan.

Sarawak menamatkan jelajah pramusim kelmarin selepas membenam Dong Nai FC di Vietnam dengan 2-1 hasil jaringan Gilmar Jose Da Silva pada babak pertama.

Sebelum ini, Sarawak menewaskan Selangor PKNS (2-1), Binh Phuoc FC (2-1), Ho Chi Minh (1-0) dan tewas di tangan Selangor 2-0.

Sementara itu, Rajagobal menyerahkan nasib penyerang Shahrul Azwari Ibrahim di tangan pengurusan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) menentukannya setelah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membatalkan hasratnya bermain dengan pasukan Sarawak musim ini.

“Saya yakin FAS lebih arif dalam hal ini dan mereka akan menyelesaikan perkara ini dengan cara yang lebih baik dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA),” katanya.

Beliau juga menaruh harapan agar Shahrul dapat dikekalkan dalam skuad Sarawak kerana pemain itu mempunyai kualiti yang beliau perlukan.

“Shahrul seperti pemain muda yang lain berjaya memberi impak positif dalam skuad Sarawak,” katanya.

Skuad Sarawak kembali ke tanah air hari ini dan memulakan latihan selepas rehat selama dua hari.