Siol BC melakar sejarah

0

Menjuarai Badminton Bumiputera Berpasukan Tertutup Sarawak 2015

// Oleh Mohd Shafik Ahmad //

RAI KEJUARAAN: Barisan pemain Siol BC meraikan detik kejuaraan bersama trofi Kejohanan Badminton Bumiputera Berpasukan Maeltree-Thumbs Up Tertutup Sarawak 2015 di Sibu kelmarin.

RAI KEJUARAAN: Barisan pemain Siol BC meraikan detik kejuaraan bersama trofi Kejohanan Badminton Bumiputera Berpasukan Maeltree-Thumbs Up Tertutup Sarawak 2015 di Sibu kelmarin.

KUCHING: Siol BC melakar sejarah tersendiri apabila menjuarai Kejohanan Badminton Bumiputera Berpasukan ‘Maeltree-Thumbs Up’ Tertutup Sarawak 2015 buat kali ketiga berlangsung di Dewan Badminton Thumbs Up di Sibu kelmarin.

Pasukan dari Kuching itu mendominasi pentas akhir kejohanan apabila menundukkan Syarikat Petro Farisa dengan agregat 2-0 sekali gus merangkul kejuaraan tiga kali berturut-turut sejak mula diperkenalkan pada 2013.

Aksi beregu pertama Siol BC yang diwakili oleh Ayub Ibrahim dan Abdul Hafiz Jaafar menewaskan pasangan Dillah dan Zaiful dengan kiraan mata 2-1.

Meskipun ketinggalan 22-24 dalam set pertama, namun gandingan beregu muda dari Siol BC itu terus bangkit dalam set kedua (21-19) serta mengekalkan rentak cemerlang dalam set penentuan menundukkan pasangan, Dillah dan Zaiful dengan 21-10.

Sementara itu, pasangan Ghazi Turkey dan Zamahari Eddie berjaya menundukkan Dolghani dan Amir dengan 21-14, 23-21 dalam aksi kedua saingan akhir itu melayakkan Siol BC menang dengan agregat 2-0.

Dengan kemenangan itu, Siol BC berjaya membawa pulang Piala Pusingan Kawasaki Bumiputera dan piala kejohanan, wang tunai berjumlah RM2,420 berserta medal.

Manakala Syarikat Petro Farisa yang sekadar berpuas hati selaku naib juara membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,540 dan medal.

Tempat ketiga dan keempat masing-masing dimenangi Combine X dan Maeltree Ceria-IGAN yang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,100 dan RM800 serta medal.

Kejohanan dua hari berlangsung pada 30 dan 31 Januari lalu merupakan anjuran bersama Kawasaki-Thumbs Up Badminton Academy dan Maeltree Badminton Team Sibu disertai sebanyak 17 pasukan badminton seluruh Sarawak.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pemilik Thumbs Up Badminton Academy Sibu, Martin Kwong.