Pasukan Badminton Polis Sarawak julang Piala Ketua Polis Negara

0
UNGGUL: Pasukan badminton polis kontinjen Sarawak meraikan detik merangkul kejuaraan Piala Ketua Polis Negara.

UNGGUL: Pasukan badminton polis kontinjen Sarawak meraikan detik merangkul kejuaraan Piala Ketua Polis Negara.

KUCHING: Pasukan Badminton Polis Kontinjen Sarawak dinobatkan juara Kejohanan Badminton Piala Ketua Polis Negara 2016 berlangsung di Tanjung Rambutan, Perak Ahad lalu.

Kejayaan merangkul juara IPK Sarawak itu selepas mereka menewaskan Polis Kontinjen Johor dengan kiraan 3-2.

Bersaing sengit dalam aksi perlawanan akhir berdepan skuad dari selatan tanah air itu tidak memberi laluan mudah kepada Sarawak merangkul kejuaraan.

Pertandingan berformat lima perlawanan itu memaksa Sarawak bekerja keras sebelum memastikan gelaran juara kembali menjadi milik skuad Bumi Kenyalang selepas akur naib juara pada kejohanan sama edisi 2014.

Kemenangan kontinjen Sarawak menerusi kategori perseorangan lelaki dan dua beregu senior sudah memadai untuk menempah gelaran buat kali ketiga.

Pengurus pasukan, ACP Wan Shamsuddin Wan Hussin berkata kejayaan itu merupakan kerjasama semua pihak memastikan kejuaraan milik kontinjen Sarawak.

Menurutnya, Sarawak merupakan pemegang rekod juara dua kali berturut-turut sejak 2010 hingga 2012 pada kejohanan dianjurkan dua tahun sekali itu.

Bagaimanapun, kekecewaan sebagai naib juara pada edisi 2014 tidak mematahkan semangat perjuangan mereka memburu gelaran juara pada kali ini.

Pertandingan edisi 2016 dihoskan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak berlangsung di Kolej Sains Bersekutu Tanjung Rambutan, Perak.

Sebanyak 18 pasukan menyertai kejohanan lima hari itu bermula 27 hingga 31 Januari lalu terbahagi kepada dua kategori iaitu lelaki dan wanita.