18 Februari tarikh akhir permohonan sukarelawan SUKMA 2016 Sarawak

0

KUCHING: Orang ramai diingatkan tarikh akhir bagi permohonan menjadi sukarelawan Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 Sarawak ialah pada 18 Februari ini.

Ini diumumkan oleh Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Sarawak, Abdul Haris Ishak dalam satu kenyataan akhbarnya di sini kelmarin.

Justeru itu, mereka berminat boleh mengemukakan permohonan secara atas talian (online) terdapat di laman web www.sukmasarawak2016.my, selain mengakses borang permohonan tersebut melalui ‘Facebook’ rasmi iaitu https://www.facebook.com/SUKMA2016/.

“Sambutan diterima setakat ini amat menggalakkan dan kami menerima hampir 1,600 pemohonan,” katanya mengenai bilangan permohonan yang diterima sejak dilancarkan pada 18 Januari lalu.

Beliau berkata, semua permohonan akan ditapis serta diproses dan pemohon berjaya akan dimaklumkan melalui e-mel atau dalam bentuk komunikasi yang akan diberitahu nanti.

“Kami akan menganjurkan beberapa siri latihan bagi mereka yang dipilih mulai Mac dengan tempat latihan kemungkinan diadakan di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak,” jelas beliau.

Jawatankuasa penganjur SUKMA 2016 Sarawak mensasar merekrut 3,000 sukarelawan berganding bahu dengan kakitangan pengurusan teknikal dan pembantu majlis terdiri golongan sukarelawan.

Permohonan bagi sukarelawan terbuka kepada mereka berusia 18 tahun ke atas, sihat tubuh badan dan bersedia bertugas di tempat-tempat 24 acara sukan yang dipertandingkan.

Kebanyakan acara sukan diadakan di Kuching dan Kota Samarahan tetapi badminton dan bola tampar tertutup diadakan di Sibu manakala karate, sepak takraw dan layar diadakan di Miri.

Selain itu, 500 sukarelawan turut diperlukan bagi temasya sukan Paralimpiad Malaysia 2016 ke-18 (Para-Games) yang diadakan pada awal Ogos depan.

Mereka terplih diberi latihan khas mengenai cara membantu penganjuran pelbagai acara disertai oleh atlet-atlet berbeza keupayaan fizikal.