Cadang bawa petinju ke London

0

SABA masih belum puas hati dengan latihan di Thailand, mahu sasaran SUKMA dicapai

// Oleh Harry Ilias //

GIAT: Sebahagian daripada petinju Sarawak sedang menjalani latihan di Kompleks Lembaga Sukan Bangkok.

GIAT: Sebahagian daripada petinju Sarawak sedang menjalani latihan di Kompleks Lembaga Sukan Bangkok.

KUCHING: Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA) masih belum berpuas hati dengan latihan pendedahan yang dijalani petinju mereka ketika ini sebagai persiapan menghadapi SUKMA XVIII yang akan diadakan dari 22 hingga 31 Julai 2016.

Menurut Presiden SABA Datuk Rahman Lariwoo, persatuan bercadang untuk membawa petinju menjalani latihan di London, England selama tiga minggu sebelum temasya SUKMA bermula.

Katanya, SABA akan berjumpa dengan syarikat penerbangan AirAsia selepas sambutan Tahun Baharu Cina bagi memohon tajaan untuk menerbangkan petinju Sarawak ke London.

“Kita akan memohon kerjasama daripada pihak AirAsia untuk menerbangkan petinju Sarawak ke London bagi menjalani latihan selama tiga minggu di sana.

“Saya juga akan berbincang dengan Presiden Persatuan Tinju Malaysia, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang juga Pengerusi FELDA Group Ventures (FGV) untuk menggunakan hotel milik FELDA di Kota London sebagai tempat penginapan petinju,” katanya pada sidang media semalam.

Rahman yang juga pengurus skuad t inju kebangsaan berkata beliau akan bekerjasama dengan Penaung SABA, Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Stephen Mundaw untuk berbincang dengan AirAsia berhubung permohonan tajaan tersebut.

Katanya, jurulatih dari Kanada yang sedang melatih petinju Sarawak di Bangkok ketika ini, David Treharne akan membantu merangka latihan pendedahan untuk dijalani petinju di London nanti.

Tambah beliau, David akan menggunakan kenalannya di London bagi mendapatkan petinju untuk dijadikan rakan ‘sparring’ petinju Sarawak.

“SABA benar-benar komited untuk memastikan sasaran tiga pingat emas skuad tinju pada SUKMA XVIII berjaya dicapai,” katanya.

Skuad tinju Sarawak sedang menjalani latihan selama tiga bulan di Bangkok, Thailand sejak 20 Januari lalu.

Selepas latihan di Bangkok, skuad tinju akan berlepas ke Pulau Batam, Indonesia pada April untuk menjalani latihan di sana.

Menurut Rahman, SABA akan mengadakan perjumpaan dengan Menteri Sukan dan Pegawai Thailand selepas Tahun Baharu Cina untuk merakamkan penghargaan atas kerjasama diberikan kerajaan negara itu dengan membenarkan petinju Sarawak menggunakan fasiliti di Kompleks Lembaga Sukan Bangkok untuk menjalani latihan.