MOM kurangkan jumlah sukan di Sukan SEA 2017

0

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) telah mengurangkan jumlah sukan untuk Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur kepada 34 daripada 39 yang disenaraikan sebelum ini.

Presiden MOM Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar ketika menyatakan demikian, bagaimanapun, tidak memberitahu lima jenis sukan yang digugurkan.

Beliau berkata, senarai 344 acara sukan akan diumumkan selepas Tahun Baru Cina untuk memberi masa dan peluang kepada Persatuan-persatuan Sukan Negara (PSK) dan Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) dari negara anggota ASEAN untuk mengemukakan rayuan.

“Sudah tentu tidak semua akan berpuas hati, saya pasti bahawa banyak usaha melobi akan dijalankan dan ada pihakpihak yang cuba memasukkan lebih banyak acara dan jenis sukan yang tidak menepati syarat. Kami bersedia untuk mendengar rayuan mereka.

Kami akan mengadakan Mesyuarat Majlis Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) dan mesyuarat Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) pada 23 dan 24 Feb di Kuala Lumpur, yang mana mereka akan mengkaji senarai sukan dan acara,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat lembaga eksekutif majlis itu di Wisma OCM di sini, semalam.

Sebanyak 39 acara sukan yang disenaraikan sebelumnya oleh majlis ialah skuasy, kenu, hoki, badminton, karate, meluncur ais, akuatik, menembak, bola sepak, bola keranjang, bina badan, tinju, bola tampar, bola jaring, boling padang, ski air, petanque, triathlon, silat, lawan pedang, taekwondo dan ragbi.

Juga disenaraikan ialah hoki ais, boling, kriket, tenis, judo, golf, wusyu, sepak takraw, memanah, ekuestrian, angkat berat, lumba basikal, ping pong, snuker dan biliard, olahraga, pelayaran dan gimnastik.

Tunku Imran berkata NSA dan NOC masih berpeluang untuk merayu kepada MASOC sehingga Julai bagi memasukkan sukan atau acara sebelum senarai itu dimuktamadkan.

“Kami perlu mengumumkan senarai akhir 12 bulan sebelum majlis perasmian iaitu pada Julai.

“Selain memenangi emas, kriteria lain yang kami akan pertimbanghkan ialah lokasi venue dan kosnya disebabkan kemelesetan ekonomi global yang dihadapi,” kata beliau. — Bernama