Jabatan Imigresen terus banteras kehadiran PATI

0

KUCHING: Usaha membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) tidak akan berhenti selagi ia dipercayai bertapak di negeri ini.

Jabatan Imigresen Negeri (JIN) menerusi kenyataan akhbarnya semalam berkata, PATI akan terus diburu menerusi beberapa operasi yang dijalankan oleh pihak jabatan.

Malah, dua operasi berasingan telah dilakukan oleh dua kumpulan anggota operasi masing-masing pada hari Rabu dan semalam.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen (TPPI) Abdul Malik Bojeng yang mengetuai operasi di bawah Ops Ikrar (Mahir) dibantu dengan kekuatan anggota seramai 46 orang telah menyerbu sebuah tapak pembinaan di Jalan Lapangan Terbang Kuching di sini, Rabu lalu.

Dalam serbuan pertama itu, seramai 135 individu diperiksa yang terdiri daripada 105 warganegara Indonesia dan 18 lelaki tempatan, lapan lelaki warganegara Korea Utara, tiga lelaki warganegara India dan seorang lelaki warganegara China.

Hasil pemeriksaan, 36 lelaki dan tiga wanita warganegara Indonesia serta tiga lelaki warganegara India ditahan kerana disyaki melanggar pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Sementara itu, lokasi kedua yang diserbu semalam ialah sebuah rumah kongsi tapak pembinaan Samariang Aman, di sini.

TPPI Mehuen Runies yang mengetuai kumpulan kedua turut dianggotai seramai 40 pegawai operasi telah memeriksa seramai 51 individu di tempat kejadian yang terdiri daripada tiga wanita dan 40 lelaki warganegara Indonesia serta lapan lelaki warganegara Korea.

Setelah penelitian pemeriksaan dan saringan dijalankan mendapati, seramai 17 lelaki dan seorang wanita warganegara Indonesia diberkas kerana disyaki melanggar pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Kesemua 60 PATI yang ditahan dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Semuja, Serian untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Dalam kes berasingan, Ops Ikrar (Kutip) yang dijalankan di Miri berjaya menahan seorang lelaki warganegara Indonesia serta seorang lelaki warganegara Pakistan di kawasan Pasar Raya Emart Miri, Selasa lalu.

Kedua-dua mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal lebih masa daripada tempoh sepatutnya di negeri ini.

Subjek kemudian dihantar ke Depot Tahanan PATI Imigresen Bekenu untuk tindakan serta siasatan lanjut.