KPDNKK periksa 210 premis pada hari pertama skim kawalan harga

0
PATUHI SKIM KAWALAN: Pegawai penguatkuasaan KPDNKK melakukan pemeriksaan di sekitar bandar Kim Fung di Batu 4, kelmarin.

PATUHI SKIM KAWALAN: Pegawai penguatkuasaan KPDNKK melakukan pemeriksaan di sekitar bandar Kim Fung di Batu 4, kelmarin.

SANDAKAN: Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Sandakan telah memeriksa sebanyak 210 premis pada hari pertama Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2016.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah Sam Amiunddin berkata, pemeriksaan dilakukan oleh 18 pegawai terlibat itu menumpukan kawasan premis tetap termasuk pasar raya, pasar mini, kedai runcit dan pasar awam di sekitar bandar Kim Fung di Batu 4 dan Taman Mawar.

Katanya, dalam operasi itu, sebuah premis telah dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2001 kerana melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3 (1) Penandaan Harga Runcit 1993.

“Skim ini berlangsung selama 12 hari berkuat kuasa dari 3 hingga 14 Februari dengan menumpukan kepada 12 jenis barangan harga terkawal sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2016.

“Ia dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 di mana para peniaga diwajibkan menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditentukan kerajaan dan meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu.

“Bagaimanapun, peniaga digalakkan untuk menjual barangan itu lebih rendah daripada harga maksimum sekiranya harga yang diperolehi adalah lebih rendah,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mengenai pemeriksaan itu, Sam berkata pegawai penguatkuasaan KPDNKK Sandakan akan berada di lokasi-lokasi tumpuan ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar pagi dan pasar tani untuk menjalankan pemeriksaan secara berterusan dalam usaha melindungi pengguna daripada aktiviti mencatut oleh peniaga yang tidak beretika.

Katanya, skim itu dilaksanakan agar pengguna dapat memperolehi barangan perlu musim perayaan pada harga yang berpatutan dan menyekat daripada peningkatan harga yang melampau.

Selain itu, skim berkenaan juga merupakan antara langkah kerajaan untuk mengurangkan beban kos hidup rakyat dalam negara.

“Pihak KPDNKK tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim berkenaan.

“Di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, individu yang melakukan kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum yang telah ditentukan boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya, atau dikenakan kompaun sehingga RM50,000.

“Manakala bagi syarikat yang melakukan kesalahan, boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikenakan kompaun sehingga RM250,000,” jelasnya.

Sebarang aduan boleh disalurkan melalui beberapa saluran termasuk 1Malaysia One Call Centre (03-8000-8000); talian bebas tol (1-800-886-800), SMS ke 15888 dengan menaip KPDNKK ADUAN <butiran aduan>; e-mel ke alamat [email protected]; aplikasi Ez-Adu; lapor atau hadir sendiri ke pejabat KPDNKK Sandakan; atau menghubungi talian 089-668107/089-667110.