Masalah bekalan air di 3 DUN akan diatasi

0

TAWAU: Masalah tekanan air yang rendah di tiga lokasi dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas akan di atas secepat mungkin, kata Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

Tawfiq yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Apas berkata perkara berkenaan sudah dikemukakan kepada Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

“Kawasan terlibat ialah, Tinagat, Kau Sing dan Ranggu. Pada masa ini, ketiga-tiga kawasan berkenaan mendapat bekalan air dari kawasan bandar,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian hamper dan angpau kepada pemimpin masyarakat Cina kawasan Parlimen Tawau sempena Tahun Baharu Cina di sini semalam.

Katanya memandangkan kawasan Balung mempunyai bekalan air yang berlebihan, Jabatan Air Negeri akan mendapatkan bekalan dari Balung untuk disalurkan ke kawasan berkenaan.

Sementara itu, Tawfiq mengingatkan mana-mana penduduk di kawasan berkenaan agar menghubunginya sekiranya bekalan air mereka terputus bagi memudahkan bekalan air menggunakan lori dihantar ke kawasan mereka. — Bernama