Pasukan JKR Malaysia, Sarawak akan kaji pembinaan Jambatan Batang Lupar

0

KUCHING: Satu pasukan melibatkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dan JKR Sarawak akan ditubuhkan untuk menjalankan kajian terperinci ke atas pembinaan Jambatan Batang Lupar.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ia memandangkan kajian perlu dilakukan dari segi reka bentuk dan kos sebelum pembinaan jambatan sepanjang lima kilometer itu boleh dilaksanakan.

“Pasukan ini akan turun ke lapangan untuk membuat reka bentuk akhir dan menganggarkan berapa kos sebenar pembinaan jambatan ini,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan Tahun Baharu Cina kepada lebih 100 warga emas di kawasan Matang dekat sini, semalam.

Dalam pada itu, Fadillah berkata pembinaan Jambatan Batang Lupar akan dilaksanakan selepas kajian reka bentuk dan kos diselesaikan.

Tambah beliau, ia memandangkan pembinaan jambatan tersebut telah dijadikan sebagai manifesto Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri akan datang.

“Maka itu, jambatan ini mesti disiapkan dalam tempoh selepas Pilihan Raya Negeri nanti… maknanya dalam tempoh lima tahun sebelum Pilihan Raya Negeri seterusnya,” katanya.

Namun demikian, katanya lokasi pembinaan jambatan berkenaan belum lagi ditetapkan.

“Kesesuaian tanah memang sudah kita kenal pasti secara kasar tetapi kita perlu ke lapangan untuk menjalankan kajian terlebih dahulu sebelum memuktamadkannya,” katanya.

Dalam pada itu, Fadillah berkata Jambatan Batang Lupar juga akan menjadi penghubung untuk kawasan Sri Aman, Betong sehingga ke Sarikei sekali gus memanfaatkan ratusan penduduk dari kawasan pesisir pantai berkenaan.

“Jambatan adalah menghubungkan kawasan pesisir pantai dan ia akan menjadi laluan alternatif kepada Lebuh Raya Pan Borneo yang akan dibina.

“Ini kerana jarak perjalanan melaluinya adalah lebih singkat daripada Lebuh Raya Pan Borneo iaitu sejauh 100 kilometer,” katanya.

Beliau menambah, Jambatan Batang Lupar juga akan melengkapkan laluan penghubung dari Kuching ke Sri Aman setelah terbinanya Jambatan Samarahan dan Jambatan Batang Sadong yang dijangka siap pada Ogos tahun ini.

“Terdapat empat lagi jambatan yang perlu kita bina supaya keseluruhan negeri dapat dihubungkan menggunakan jambatan bagi menggantikan feri,” katanya.