Penunggang motosikal cedera selepas rempuh belakang kereta

0
RAWATAN KECEMASAN: Mangsa diberikan rawatan kecemasan oleh anggota paramedik JPAM di tempat kejadian sebelum dikejarkan ke HUS.

RAWATAN KECEMASAN: Mangsa diberikan rawatan kecemasan oleh anggota paramedik JPAM di tempat kejadian sebelum dikejarkan ke HUS.

KUCHING: Seorang penunggang motosikal dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Tun Jugah di sini, semalam.

Lelaki berusia 51 tahun berasal dari Stakan Waja itu semasa kejadian dikatakan dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya sekitar jam 5 petang.

Difahamkan, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya sehingga merempuh belakang sebuah kereta jenis Toyota Ulser menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan raya.

Orang ramai yang menyaksikan kemalangan tersebut segera membantu mangsa selain turut menghubungi anggota paramedik.

“Mangsa telah diberikan rawatan kecemasan di tempat kejadian sebelum dikejarkan ke HUS menggunakan ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk rawatan lanjut,” kata sumber.

Sehingga berita ini ditulis semalam, mangsa masih menerima rawatan di Zon Merah Unit Kecemasan HUS.