Sekumpulan wanita dakwa suami ditahan imigresen PNG

0
BANTU KAMI: Santia (kanan) bersama yang lain ketika datang ke pejabat Utusan Borneo di Sibu, semalam.

BANTU KAMI: Santia (kanan) bersama yang lain ketika datang ke pejabat Utusan Borneo di Sibu, semalam.

SIBU: Sekumpulan wanita yang mendakwa suami mereka ditahan pihak berkuasa imigresen di Papua New Guinea (PNG) kerana dipercayai ditipu majikan tampil membuat laporan polis.

Santia Sigu, 27, memberitahu baru-baru ini beliau menerima pesanan menerusi aplikasi WeChat daripada suaminya, Martin Dominic yang mendakwa telah ditahan oleh pihak berkuasa Imigresen PNG.

Turut ditahan ialah beberapa rakyat Malaysia berasal dari Sarawak.

“Suami saya memberitahu penahanan itu dibuat susulan terdapat cop keluar pada pasport mereka sedangkan suami saya serta yang lain tidak pernah meninggalkan negara itu.

“Selain itu, suami saya mendakwa ada memaklumkan perkara itu kepada pihak pengurusan mereka di sana (PNG), namun tiada tindakan susulan dilakukan setakat ini,” ujar beliau ketika ditemui media semalam.

Menurut Santia, suaminya pergi ke negara berkenaan sejak beberapa bulan lalu, namun sehingga kini tiada pekerjaan.

“Lebih malang, mereka kini ditahan pihak berkuasan Imigresen PNG,” katanya lagi.

Selain itu, katanya, mereka kini berdepan masalah kewangan setelah tidak mendapat kiriman wang daripada suami masing-masing.

Santia memberitahu, dia bersama rakan senasib dengannya juga pernah cuba menemui pihak pengurusan di pejabat majikan suami mereka di Lorong Ding Lik Kwong di sini.

Namun pejabat berkenaan jelas beliau telah dikunci dan sebarang usaha untuk mendapatkan lanjut mengenai nasib suami mereka tidak berhasil.

Justeru Santia berharap pihak berkenaan dapat membantu menyelesaikan masalah dihadapi mereka termasuk melepaskan suami mereka agar dapat pulang ke tanah air dengan selamat.