Usaha berterusan pastikan UEC dapat pengiktirafan

0

Oleh Jessica Jawing//

MERIAH: Adenan (dua kiri) serta yang lain disambut meriah murid-murid SJK Chung Hua No.1 sejurus tiba di sekolah berkenaan, semalam.

MERIAH: Adenan (dua kiri) serta yang lain disambut meriah murid-murid SJK Chung Hua No.1 sejurus tiba di sekolah berkenaan, semalam.

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dijangka mengadakan perjumpaan dengan Menteri Pendidikan bagi membincangkan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Menurut beliau, UEC yang ditawarkan oleh sekolah persendirian Cina di negeri ini telah diterima universiti swasta termasuk Swinburne Universitiy of Technology, Curtin University selain universiti luar negara.

Bagaimanapun tegasnya hanya universiti awam di Malaysia sahaja yang tidak memberi pengiktirafan kepada UEC.

“Di Sarawak kita mengiktiraf UEC untuk kebaikan negeri ini dan mereka boleh menyertai perkhidmatan awam negeri mahupun memohon pinjaman daripada Yayasan Sarawak… mereka amat dialu-alukan.

“Namun ia tidak diterima di universiti awam di Malaysia dan saya berhasrat untuk membincangkan bersama Menteri Pendidikan di Kuala Lumpur (pusat) mengenai perkara ini agar ia dapat diiktiraf di universiti awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bangunan Baharu Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua No.1 yang dihadiri Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah SJK Chuang Hua No.1-6 di sini, semalam.

Adenan menegaskan, oleh kerana UEC diterima di Swinburne dan Curtin, diharap ia akan diikuti universiti lain termasuk universiti awam.

Pada masa yang sama beliau menegaskan, keputusan untuk berbuat demikian tidak ada kaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebaliknya ia adalah perkara yang wajar dilakukan sama ada sekarang atau pada masa akan datang.

“Ia bukan kerana pilihan raya, tidak…tetapi kerana ia adalah perkara yang wajar dilakukan sama ada sekarang atau pada masa akan datang dan ia adalah untuk kebaikan rakyat Sarawak,” katanya.

Sementara itu ketika ditemui pemberita selepas majlis, beliau berkata pertemuan bersama Menteri Pendidikan itu juga termasuk membincangkan secara menyeluruh hal berkaitan pendidikan di Sarawak.

“Ia tentang perkara berkaitan pendidikan Sarawak termasuk keadaan sekolah, bantuan dan sebagainya,” kata beliau.

Adenan yang turut mengumumkan RM500,000 kepada SJK Chung Hua No.1, semalam turut memberitahu bahawa beliau akan terus memberi bantuan kepada sekolah persendirian Cina di Sarawak seperti tahun-tahun lepas.

Katanya kerajaan negeri terus memberi peruntukan tahunan kepada sekolah persendirian Cina termasuk pada tahun depan.

“Ini kerana kita menyedari bahawa pendidikan merupakan perkara penting kepada komuniti Cina dan selain itu kita harus sedar bahawa kebanyakan pelajar di sekolah Cina juga adalah di kalangan Bumiputera.

“Misalnya di sekolah ini, 28 peratus adalah Bumiputera dan kita dimaklumkan sekolah persendirian Cina di luar bandar ada yang mempunyai 50 peratus dan 80 peratus pelajar Bumiputera,” kata Adenan.

Beliau dengan itu berharap sekolah berkenaan akan terus mengekalkan dasar menerima Bumiputera ke sekolah Cina dan tidak mengubahnya dengan menerima sesiapa sahaja tanpa mengira kaum.