Kemudahan di lebuh raya

0

Oleh Agnes Tugong//

REKAAN: Lakaran reka bentuk kemudahan RSA Jelukong, Sri Aman di laluan Lebuh Raya Pan Borneo.

REKAAN: Lakaran reka bentuk kemudahan RSA Jelukong, Sri Aman di laluan Lebuh Raya Pan Borneo.

BETONG: Tiga kemudahan Kawasan Khidmat dan Rehat (RSA) bakal dibina sepanjang fasa pertama projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, tiga RSA tersebut masing-masing terletak di Jelukong, Sri Aman; SG Basai, Mukah; dan Lambir, Miri.

“Selain membangun tiga RSA, kita akan mencari kaedah membantu pengusaha di 19 kawasan rehat sedia ada di sepanjang laluan.

“Rekaan bagi semua tiga RSA ini masih belum dimuktamad dan mungkin berbeza namun dari segi fasiliti disedia, ia adalah sama,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan ke tapak Projek RSA Jelukong, Sri Aman dekat sini semalam.

PENERANGAN: Fadillah (dua kiri) bercakap kepada pemberita selepas lawatan ke tapak Projek RSA Jelukong Sri Aman sebelum meneruskan perjalanan ke Sibu semalam.

PENERANGAN: Fadillah (dua kiri) bercakap kepada pemberita selepas lawatan ke tapak Projek RSA Jelukong Sri Aman sebelum meneruskan perjalanan ke Sibu semalam.

Fadillah dalam perjalanan ke Sibu bersama wakil pengamal media tempatan bagi Program Jelajah Pan Borneo dari Sematan hingga Miri mulai 4 hingga 6 Februari 2016.

Terdahulu dalam taklimatnya, Jurutera Awam dan Pengurus Projek Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Chiew Chee Yau berkata, keluasan tanah bagi Projek RSA Jelukong ialah seluas 10 ekar.

Namun, hanya empat ekar akan dibangunkan merangkumi medan selera, pasar tamu, surau dan tandas awam.

Dua kedai, lapan gerai dan 140 tempat duduk akan disedia di medan selera ini manakala pasar tamu memuatkan 30 penjaja, katanya.

Kemudahan surau pula mampu memuatkan 80 orang jemaah dan masing-masing lapan bilik tandas untuk lelaki dan wanita dan dua lagi untuk orang kelainan upaya (OKU), jelasnya.

Baki enam ekar lagi adalah bagi kegunaan masa depan termasuk kemudahan stesen petrol, jelas Chiew sambil menambah, projek tersebut bagaimanapun belum dimuktamadkan.