Mahkamah perintah 19 tertuduh bela diri

0

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini semalam  memerintahkan 19 daripada 30 individu yang didakwa melakukan pelbagai kesalahan berkaitan pencerobohan bersenjata di Lahad Datu tiga tahun lepas, untuk membela diri.

Hakim Stephen Chung membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap 16 warga Filipina termasuk seorang wanita dan tiga lelaki tempatan.

Mahkamah menetapkan tiga minggu mulai 22 Feb untuk perbicaraan.

Sembilan daripada 16 warga Filipina yang diperintah membela diri, didakwa melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, yang memperuntukkan hukuman mati.

Mereka ialah Atik Hussin Abu Bakar, Basad H. Manuel, Ismail Yasin, Virgilio Nemar Patulada @ Mohammad Alam Patulada, Salib Akhmad Emali, Al Wazir Osman @ Abdul, Tani Lahaddahi, Julham Rashid dan Datu Amirbahar Hushin Kiram.

Mereka juga menghadapi hukuman penjara seumur hidup dan denda kerana didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas dengan enam yang lain, termasuk seorang lelaki tempatan.

Tertuduh ialah Lin Mad Salleh, Holland Kalbi, Habil Suhaili, Timhar Hadir, Aiman Radie dan lelaki tempatan, Abd Hadi Mawan.

Wanita tunggal warga Filipina dalam kes itu, Norhaida Ibnahi diperintah membela diri kerana didakwa melindungi individu yang dia tahu adalah anggota kumpulan pengganas, yang boleh dipenjara 20 tahun sehingga seumur hidup dan denda.

Chung juga melepas dan membebaskan dua rakyat tempatan dan seorang warga Filipina atas tuduhan melancarkan perang dan menjadi anggota kumpulan pengganas,tetapi pertuduhan terhadap mereka dipinda dan memerintahkan mereka membela diri.

Hakim berkata pihak pendakwaan telah menunjukkan bukti bahawa Basil Samiul dan rakyat tempatan, Mohamad Ali Ahmad membantu atau memberi sokongan kepadakumpulan pengganas itu, dan mereka boleh dihukum penjara seumur hidup dan bolehdikenakan denda.

Kedua-dua lelaki itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan baharu itu dibacakan oleh jurubahasa.

Chung juga meminda pertuduhan terhadap warga tempatan, Pabblo Alie yang didakwa membantu kumpulan pengganas dengan menyalurkan dana, iaitu kesalahan yang boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan denda.

Dia mengaku tidak bersalah dan hakim memerintahkan dia untuk membela diri.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan antara 12 Feb dan 10 April 2013 di Lahad Datu, Beluran dan Semporna.

Sementara itu, Chung memerintahkan 11 yang lain, yang dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan yang dihadapi mereka, dirujuk kepada Jabatan Imigresen untukpenghantaran pulang.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar memohon mereka ditahan dalam penjara mengikut Seksyen 30(1) Akta Kesalahan Keselamatan(Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) sementara menunggu rayuan difailkan oleh pihak pendakwaan terhadap pembebasan tertuduh.

Hakim membenarkan permohonan itu selepas semua peguam yang mewakili tertuduh tidak membantah.

Pendakwaan yang diketuai Mohd Dusuki dan dibantu Timbalan Pendakwa Raya Datuk Jamil Aripin, mengemukakan 166 saksi dalam perbicaraan bersama kesemua 30 tertuduh itu yang berlangsung selama 239 hari dari 6 Jan 2014 hingga 5 Jan lepas di Jabatan Penjara Sabah.

Peguam Datuk N. Sivananthan dilantik oleh kerajaan Filipina mewakili warga Filipina manakala Abdul Gani Zelika mewakili Abd Hadi, Putli Noor Asikin Datu Gulam mewakili Pabblo dan sepasukan peguam diketuai Kamaruddin Mohamad Chinki mewakili Mohamad Ali.

Kawasan Jabatan Penjara Sabah, yang menempatkan Mahkamah Tinggi, dikawal ketat oleh pengawal penjara dan anggota polis berpakaian seragam tempur, seawal jam 6 pagi.

Jalan menghala ke kompleks penjara itu juga disekat oleh polis sejauh 20m di kedua-dua hala.

Bilik perbicaraan juga dipenuhi anggota polis dari cawangan khas dan sepasukan memakai jaket kalis peluru yang tertera perkataan ‘POLICE’. — Bernama