Rumah dirompak selepas tiga anjing mati serentak

0
BERSELERAK: Keadaan di dalam bilik yang diselongkar suspek.

BERSELERAK: Keadaan di dalam bilik yang diselongkar suspek.

Tiga lelaki bertopeng, bawa pisau dipercayai warga asing

Oleh Jeremy Lanson //

KUCHING: Kematian serentak tiga anjing peliharaan sebuah keluarga di Batu Kawa beberapa hari lepas memberi petunjuk awal sebelum rumah mereka dipecah masuk perompak bertopeng di sini semalam.

Menurut sumber, mangsa 50-an, enggan dikenali memberitahu, beberapa hari sebelum kejadian pecah masuk itu, ketiga-tiga ekor anjing mati serentak tetapi disangka kerana penyakit malah tidak mencurigai perkara buruk bakal berlaku.

Disebabkan ketiadaan anjing tersebut, keluarga terdiri daripada pasangan suami isteri dan dua anak tidak menyedari tiga perompak berjaya memasuki rumah sekitar jam 3 pagi semalam.

“Anjing peliharaan mereka mati serentak dan menyangkanya akibat penyakit dan tidak mencurigai apa-apa sehingga pagi tadi (semalam) apabila rumah dipecah masuk tiga lelaki bertopeng dan bersenjatakan pisau.

“Ketiga-tiga perompak terbabit mulanya memasuki bilik tidur anak lelaki mangsa, kemudian ke bilik mangsa seterusnya ke bilik tidur anak perempuan sebelum mengikat kesemuanya di bilik berkenaan,” kata sumber.

Semua suspek dipercayai warga asing itu kemudian mengugut akan mencedera ahli keluarga berkenaan jika cuba melawan menyebabkan mereka hanya membiarkan sahaja suspek mengeledah rumah.

“Kira-kira 30 minit kemudian, suspek beredar dengan membawa bersama wang simpanan serta persiapan menyambut Tahun Baharu Cina yang keseluruhan dianggar berjumlah RM6,000, serta dua telefon bimbit dianggarkan bernilai RM2,000.

“Sebaik suspek beredar, mereka segera membuka ikatan dan terus ke balai polis berhampiran untuk melaporkan mengenai insiden tersebut,” kata sumber.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan DSP Yap Fui Lee semasa dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian dan siasatan lanjut masih dijalankan.

“Ketiga-tiga suspek dipercayai warga asing berjaya memasuki rumah berkenaan di Taman Beautiful, Jalan Field Force, Batu Kawah melalui pintu hadapan yang dibuka secara paksa.

“Setakat ini (semalam), belum ada sebarang tangkapan dibuat dan siasatan lanjut masih dijalankan,” jelas Yap.