Bayi alami pendarahan di dalam otak perlu bantuan

0

Ibu bapa merayu bantuan untuk kos pembedahan

BUKIT MERTAJAM: Sepasang suami isteri muda merayu bantuan kos untuk pembedahan bayi mereka berusia tiga bulan yang mengalami pendarahan di dalam otak.

Mohamad Nakhaie Mohd, 27, berkata anak bongsunya daripada tiga beradik, Nor Zuhfika Hanis disahkan mengalami pendarahan di dalam otak setelah dilahirkan tidak cukup bulan sejak Disember lepas.

Dia dan isterinya Norlidawati Che Morad, 20, yang menyewa rumah di Kampung Tok Elong, di sini berkata pendarahan itu semakin membesar dan doktor memaklumkan mereka perlu membuat pembedahan jika mahu bayi berkenaan selamat.

“Saya bekerja sebagai pembantu di sebuah gerai char kuew teow dengan pendapatan kira-kira RM800 sebulan dan perlu membayar sewa rumah RM300 sebulan. Jadi kami risau dan bimbang tidak dapat membuat pembedahan kerana tidak mempunyai duit.

“Sekarang ini pun kami bukanlah orang senang, dengan hanya saya seorang sahaja bekerja, makan pun ala kadar sahaja dan kadang-kadang terpaksa mengikat perut kerana hendak membeli susu untuk dua lagi anak,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Selain bayi itu, pasangan berkenaan mempunyai dua lagi anak perempuan iaitu Nor Zulaikha, dua tahun empat bulan dan Nor Zalika Adawiyah, setahun dua bulan.

Mohamad Nakhaie berkata keadaan kesihatan bayinya itu semakin membimbangkan kerana sering demam dan bengkak di dahinya mula membesar sejak awal bulan ini.

“Bayi saya menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan setakat ini doktor belum memaklumkan jumlah sebenar kos pembedahan itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Permatang Pauh Abu Bakar Sidekh Zainul Abidin yang melawat keluarga berkenaan berkata pihaknya akan berjumpa dengan Pengarah HSJ dalam tempoh terdekat bagi mengetahui lebih lanjut mengenai masalah kesihatan Nor Zuhfika Hanis.

Orang ramai yang ingin menderma atau menyalurkan bantuan boleh menyumbang menerusi akaun Public Bank Mohamad Nakhaie iaitu 6848137511 atau menghubungi mereka di talian 018-4036972. — Bernama