Dua mayat mangsa lemas di Pantai Belawai dijumpai

1
Pasukan mencari dan menyelamat mengusung mayat mangsa untuk dihantar ke Hospital Sibu.

Pasukan mencari dan menyelamat mengusung mayat mangsa untuk dihantar ke Hospital Sibu.

SIBU: Mayat dua mangsa lemas dipukul ombak di Pantai Belawai dekat sini dijumpai berasingan pada pagi dan tengah hari tadi.

Mayat Mohd Hanis Tajuddin, 16, dijumpai oleh nelayan pada kira-kira jam 6.30 pagi tadi, manakala Armi Amira Pendita, 27, dijumpai pada kira-kira jam 12 tengah hari.

Menurut maklumat daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat mayat Hanis yang berbaju kelabu dan berseluar trek berwarna hitam dijumpai tersangkut pada tiang di Tanjung Tebujok, Sungai Sebayang, Batang Belawai.

Mayat kedua pula juga dijumpai nelayan tempatan yang memasang pukat di kawasan sungai Sebayang, Batang Belawai di tebing.

Kedua-dua mayat mangsa dihantar ke Hospital Sibu untuk bedah siasat.

Pada jam 5.45 petang Sabtu lalu kedua-dua mangsa dipercayai lemas selepas dihanyutkan oleh ombak besar di pantai berkenaan.