Jin Wei sasar kejayaan berterusan

0

KUALA LUMPUR: Juara remaja dunia 2015, Goh Jin Wei berharap tahun ini akan menjadi titik permulaan yang baik untuk meraih kejayaan berterusan dalam kejohanan antarabangsa yang disertainya.

Pemain perseorangan wanita berusia 16 tahun yang menduduki ranking ke-117 dunia itu berkata kedatangan Tahun Monyet sempena Tahun Baru Cina kali ini, diharap membawa tuah kepadanya untuk berada dalam kelompok 80 terbaik dunia tahun ini.

“Saya perlu bekerja lebih keras dalam meningkatkan prestasi. Paling penting dalam setiap perlawanan dan latihan saya perlu ada peningkatan dari segi fizikal dan mental.

“Sasaran pada setiap kejohanan yang disertai berbezabeza dan saya akan pastikan mencapai sasaran… yang penting saya tidak boleh putus asa,” kata pemain berasal Pulau Pinang itu kepada Bernama di sini semalam.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyenaraikan Jin Wei bersama-sama Tee Jing Yi, Ho Yen Mei, Goh Jin Wei dan Lee Ying Ying dalam acara perseorangan, serta beregu Vivian Hoo/Woon Khe Wei, Amelia Alicia/Soong Fie Cho dan Lee Meng Yean/Low Juan Shen ke Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Hyderabad, India dari 15-21 Feb ini.

Kejohanan berkenaan menawarkan slot ke pusingan akhir Piala Uber yang akan berlangsung di Kunshan, China dari 15-22 Mei ini.

Tidak seperti remaja lain, Jin Wei hanya mempunyai masa yang singkat meraikan sambutan Tahun Baru Cina kali ini kerana perlu kembali ke gelanggang untuk menjalani latihan bagi menghadapi kejohanan di India itu. — Bernama