Jonathan enggan dabik dada layak ke Olimpik

0

KUALA LUMPUR: Atlet menembak negara Jonathan Wong tidak mahu mendabik dada dan leka walaupun namanya tersenarai ke Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil pada Ogos ini.

Atlet berusia 24 tahun itu berkata tiket ke Sukan Olimpik adalah permulaan terbaik dalam kariernya menjadi antara penembak handalan dunia.

“Saya perlu berusaha lebih gigih lagi. Saya perlu mencabar diri sendiri untuk menjadi seorang penembak terhandal dunia pada masa akan datang. Layak ke Sukan Olimpik adalah impian saya tetapi ini baru permulaan,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Jonathan meraih pingat emas acara 10m Air Pistol individu lelaki di Kejohanan Menembak Kelayakan Olimpik di New Delhi, India, baru-baru ini.

Biarpun namanya tiada dalam senarai Program Podium, Jonathan yakin program latihan yang akan disediakan Majlis Sukan Negara (MSN) mempunyai standard yang tinggi.

“Pada masa ini, saya belum mendapat maklumat tentang pengisian program tersebut. Walaupun bukan di bawah Program Podium, saya yakin dengan perancangan MSN kerana mereka akan menyediakan latihan setanding program di bawah Institut Sukan Negara (ISN).

“Selepas cuti perayaan (Tahun Baru Cina), saya akan berbincang dengan persatuan dan MSN tentang program tersebut. Memandangkan persiapan ke Sukan Olimpik amat mustahak, mereka sudah tentu akan beri perhatian kepada program latihan saya nanti,” katanya.

Jonathan adalah atlet menembak ketiga negara layak ke Sukan Olimpik selepas Hasli Izwan Amir Hasan melakukannya di Sukan Olimpik Beijing 2008 dan Nur Suryani Taibi di Sukan Olimpik London 2012. — Bernama