Kajian menyeluruh bakal dibuat atasi hakisan pantai di Terengganu

0
AKIBAT FENOMENA ALAM: Traktor dan jentera berat digunakan menambak semula tebing pantai yang runtuh membabitkan juga beberapa batang pokok akibat hakisan dibadai ombak besar di Jalan Pantai Teluk Lipat di Dungun, semalam. Jalan ini ditutup kepada semua kenderaan berikutan sebahagian tebingnya runtuh sehingga ke bahagian jalan sepanjang 100 meter dipukul alun besar fenomena air pasang besar sejak tiga hari lepas. — Gambar Bernama

AKIBAT FENOMENA ALAM: Traktor dan jentera berat digunakan menambak semula tebing pantai yang runtuh membabitkan juga beberapa batang pokok akibat hakisan dibadai ombak besar di Jalan Pantai Teluk Lipat di Dungun, semalam. Jalan ini ditutup kepada semua kenderaan berikutan sebahagian tebingnya runtuh sehingga ke bahagian jalan sepanjang 100 meter dipukul alun besar fenomena air pasang besar sejak tiga hari lepas. — Gambar Bernama

KUALA NERUS: Satu kajian menyeluruh akan dilakukan untuk mengatasi hakisan pantai di Terengganu terutama di Pantai Paka di daerah Dungun, Setiu Wetland, Setiu dan Tanjung Gelam di Batu Rakit.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata kerajaan negeri akan bekerjasama dengan kerajaan Pusat menerusi Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk mengatasi masalah tersebut.

“Kerajaan negeri juga akan cuba mendapatkan peruntukan tambahan daripada kerajaan Pusat, di mana Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar akan datang ke Terengganu pada 15 Feb ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat kawasan rumah penduduk yang rosak di Kampung Mengabang Telipot di Batu Rakit, dekat sini semalam.

Ahmad Razif berkata kerajaan negeri memberi jaminan akan menyelesaikan masalah dihadapi penduduk yang rumah mereka terjejas teruk akibat hakisan pantai berikutan fenomena ombak besar yang sedang melanda ketika ini.

Beliau berkata kejadian kali ini adalah luar biasa dan mengakibatkan kemusnahan yang teruk.

“Kerja-kerja menambak batu di pesisir pantai telah dibuat sebelum ini, bermula di Kampung Tok Jembal hingga pantai Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sepanjang 250 meter dan disambung satu kilometer lagi hingga ke Tanjung Gelam.

“Malah, dalam kejadian hakisan kali pertama akhir bulan lepas, kerajaan negeri mengeluarkan peruntukan segera RM1 juta bagi kerja-kerja menambak kawasan pantai ini sebagai penyelesaian jangka pendek, sebelum kita memutuskan tindakan paling tepat dan terbaik mengatasi masalah ini dalam jangka panjang,” katanya.

Fenomena ombak besar dan angin kencang menyebabkan 38 mangsa dari tujuh keluarga di Kemaman, berpindah ke tiga pusat pemindahan yang dibuka mulai malam Ahad lepas, dan setakat ini, dua pusat pemindahan sudahpun ditutup.

Sementara di Mengabang Telipot, seramai 23 mangsa dari empat keluarga terpaksa berpindah ke rumah saudara mara yang berdekatan setelah rumah mereka rosak akibat dipukul ombak berikutan fenomena tersebut.

Jalan di Pantai Teluk Lipat, Dungun juga hampir runtuh dalam kejadian tersebut. — Bernama