Makeche tidak sabar beraksi

0

Selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut dan sudah mula menjalani latihan

// Oleh Harry Ilias //

TIDAK SABAR: Makeche (tengah) menyertai sesi latihan bersama rakan sepasukan di Stadium Negeri. Sarawak dalam persiapan terakhir menghadapi perlawanan pertama Liga Super 2016 menentang PDRM di Stadium Hang Jebat, Melaka Sabtu ini.

TIDAK SABAR: Makeche (tengah) menyertai sesi latihan bersama rakan sepasukan di Stadium Negeri. Sarawak dalam persiapan terakhir menghadapi perlawanan pertama Liga Super 2016 menentang PDRM di Stadium Hang Jebat, Melaka Sabtu ini.

KUCHING: Penyerang Sarawak, Makeche Ndumba tidak sabar untuk memulakan kempen Liga Super 2016 selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut.

Makeche sudah mula menjalani latihan bersama rakanrakan sepasukan sejak minggu lalu sebagai persiapan menghadapi perlawanan pertama menentang PDRM di Stadium Hang Jebat, Melaka pada Sabtu ini.

Menurut penyerang berusia 23 tahun itu, keyakinannya juga meningkat selepas pulih dan optimis akan kembali pada prestasi kemuncak dalam masa terdekat.

“Saya sudah kembali pulih sepenuhnya dan dalam proses untuk mengembalikan semula kecergasan. Keyakinan saya juga semakin meningkat dan tidak sabar memulakan kempen Liga Super musim ini,” katanya ditemui pada sesi latihan di sini semalam.

Bekas penyerang Felda United yang terkenal dengan kepantasan dan skil mengelecek itu juga berikrar membantu Sarawak memburu kejuaraan pada musim ini.

Malah, beliau juga yakin dapat meledak lebih banyak gol dalam saingan Liga Super musim ini bersama skuad Sarawak.

Makeche mula mengikuti latihan pada minggu lalu selepas menjalani rawatan pemulihan intensif di Institut Sukan Negara (ISN) Kuala Lumpur.

Ditanya sama ada dapat diturunkan pada perlawanan pertama Sabtu ini, Makeche memberitahu ia terpulang kepada budi bicara Ketua Jurulatih, Datuk K Rajagobal.

“Apa yang pasti, saya akan bermain menentang kelab lama Felda United di Stadium Negeri pada Selasa depan (16 Februari),” katanya sambil tersenyum.