Sebuah rumah rosak teruk, dua lagi terjejas akibat tanah runtuh

0
TANAH RUNTUH:Gambar tiga rumah yang terjejas akibat tanah runtuh yang berlaku di Lorong 5, Kampung Gunda Jawa, Batu 16 Jalan Kuching-Serian semalam.

TANAH RUNTUH:Gambar tiga rumah yang terjejas akibat tanah runtuh yang berlaku di Lorong 5, Kampung Gunda Jawa, Batu 16 Jalan Kuching-Serian semalam.

KUCHING:Sebuah rumah rosak teruk manakala dua lagi terjejas akibat kejadian tanah runtuh di Lorong 5, Kampung Gunda Jawa, Batu 16 Jalan Kuching-Serian semalam.

Bagaimanapun tiada kehilangan nyawa dilaporkan dalam kejadian itu.

Menurut jurucakap Urus Setia Jawatankuasa Bencana Bahagian Serian, pihaknya telah dimaklumkan oleh pihak berkuasa bahawa kejadian itu berlaku sekitar jam 3 petang.

“Ia melibatkan tujuh orang dewasa, tiga kanak-kanak dan seorang bayi serta dua orang warga emas. Laporan telah dibuat di IPD Padawan.

“Keluarga yang rumah mereka terjejas teruk kini tinggal bersama saudara terdekat di kampung yang sama,” katanya.

Pejabat Residen Bahagian Serian akan mengagihkan bantuan selepas kos kerosakan dikenal pasti di bawah program bantuan baik pulih.

Jabatan Kebajikan Masyarakat semalam telah mengagihkan bantuan makanan manakala Jabatan Kerja Raya menjalankan kerja-kerja pembersihan kawasan tanah runtuh.

Jumlah kerugian masih belum dikenal pasti dan masih disiasat setakat ini.

Sementara itu, dua rumah terjejas akibat tanah runtuh di Kampung Plaman Nyabet, Serian yang berlaku sekitar jam 8 malam kelmarin (Isnin).

Bagaimanapun kemalangan yang menyebabkan sedikit kerosakan di belakang rumah berkenaan tidak melibatkan sebarang kehilangan jiwa.

Pusat Pemindahan SK Tanah Merah, Serian telah dibuka bermula semalam dan menempatkan enam warga emas lelaki, enam warga emas wanita, 57 lelaki dewasa dan 51 wanita dewasa.

Sementara itu, 32 kanak-kanak lelaki dan 20 kanak-kanak perempuan serta tiga bayi perempuan turut ditempatkan di sini.

Jumlah keseluruhan keluarga yang terjejas adalah 176 orang daripada 46 keluarga.

Pusat Pemindahan Balai Raya Kampung Lintang Baru, Serian juga telah dibuka semalam untuk menempatkan mangsa yang terjejas.