Bersama bantu pesakit thalasemia

0
BERI SOKONGAN: Raya (tengah) dan Francis (barisan kedua, tiga kanan) merakamkan gambar bersama para peserta Majlis Bersama Kanak-Kanak Thalaesmia.

BERI SOKONGAN: Raya (tengah) dan Francis (barisan kedua, tiga kanan) merakamkan gambar bersama para peserta Majlis Bersama Kanak-Kanak Thalaesmia.

Beri sokongan moral dan dermalah darah untuk meringankan beban

KOTA BELUD: Masyarakat dirayu agar terus memberi sokongan moral dan menderma darah kepada pesakit thalasemia agar mereka dapat menikmati kehidupan yang berkualiti.

Presiden Persatuan Thalasemia Sabah Francis Mujim berkata, pihaknya akan terus memperkasakan ilmu pengetahuan mengenai penyakit tersebut kepada keluarga serta pesakit itu sendiri.

Katanya, ilmu pengetahuan penting untuk membantu mereka mengetahui tahap kesihatan mereka sendiri di samping dorongan daripada orang terdekat seperti ibu bapa dan keluarga.

“Berdasarkan statistik terkini, terdapat seramai 5,144 orang penghidap thalasemia di negara ini termasuk 1,544 di Sabah.

“Thalasemia ini merupakan sindrom kekurangan sel darah merah akibat kegagalan tulang sum-sum menghasilkan sel darah merah yang berkualiti untuk badan.

“Kita memang kekurangan bekalan darah dan kita harap lebih ramai masyarakat yang tampil menderma dan membantu para pesakit.

“Dalam sebulan, seorang pesakit memerlukan satu pain darah. Bayangkan dengan jumlah lebih lima ribu orang, berapa jumlah darah yang diperlukan.

“Bermula dengan peringkat penyakit dikesan sehingga ia dewasa, kos rawatan dan perubatan bagi seorang pesakit dianggarkan dalam RM3 juta,” katanya.

​Sementara itu, Eksekutif Rumah Kebajikan Yayasan Suria Datuk Raya Erom pada Majlis Bersama Kanak-Kanak Thalaesmia di Pusat Khidmat Komuniti di sini, turut memberi kata-kata semangat kepada kanak-kanak berkenaan.

Beliau meminta agar golongan berkenaan terus tabah, menerima takdir dengan reda dan percaya pada ketentuan serta hikmah daripada Yang Maha Kuasa.

​Beliau meluangkan masa kira-kira sejam bersama 22 kanak-kanak talasemia di daerah itu dan menyampaikan sumbangan berupa makanan dan angpau sempena sambutan Tahun Baharu Cina.