Dua lelaki didakwa merogol gadis bawah umur

0

KOTA KINABALU: Seorang pekerja kilang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini kelmarin, atas kesalahan merogol seorang pelajar.

Mohd Nizar Matsaleh, 24, dituduh merogol mangsa yang berusia 15 tahun, di perumahan kosong kuarters jabatan air kerajaan, Membakut, Beaufort, pada 29 Februari tahun lalu jam 11 pagi.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Hakim Azreena Aziz menetapkan pada 18 hingga 20 Julai tahun ini, sebagai tarikh perbicaraan terhadap Mohd Nizar, selepas mengaku tidak bersalah.

Dalam kes berasingan, seorang lagi buruh tempatan berusia 22 tahun didakwa melakukan kesalahan yang sama.

Awang Samail dituduh merogol seorang pelajar berusia 13 tahun, di belakang rumah mangsa di sebuah kampung di daerah sama.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dilakukan pada 22 Mac tahun lalu jam 12.30 tengah malam.

Azreena memutuskan pada 12 hingga 13 Mei depan sebagai tarikh perbicaraan terhadap Awang, selepas mengaku tidak bersalah untuk pertuduhan itu.

Timbalan Pendakwa Raya Husna Abd Halim membantah kedua-dua tertuduh dibenarkan diikat jamin, kerana masing-masing mempunyai sejarah lampau dengan setiap mangsa.

Katanya, mangsa dalam kedua-dua kes berkenaan juga masih bersekolah dan dikhuatiri setiap tertuduh akan mengganggu mereka.

Tambahnya, untuk kes Awang, pihaknya akan memanggil tujuh saksi untuk memberikan keterangan ketika perbicaraan.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh memohon kepada mahkamah supaya mereka diberikan jaminan.

Mohd Nizar menyatakan dia merupakan satu-satunya anak lelaki dalam keluarganya, manakala Awang memberitahu perlu menanggung keluarganya.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 deposit RM5,000 yang dicagarkan oleh dua penjamin tempatan.

Mereka juga diperintahkan melaporkan diri di balai polis terdekat, sekali dalam setiap bulan.