Hasrat bercuti tidak kesampaian

0
BANTUAN KECEMASAN: Kesemua mangsa dibantu oleh orang awam sementara menunggu ketibaan anggota penyelamat di tempat kejadian.

BANTUAN
KECEMASAN: Kesemua mangsa dibantu oleh orang awam sementara menunggu ketibaan anggota penyelamat di tempat kejadian.

Enam sahabat cedera kereta terbabas, terbalik ketika menuju Kuching

Oleh Jeremy Lanson //

KUCHING: Kegembiraan enam sahabat berkunjung ke pusat bandar raya ini tidak kekal lama apabila mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya di Batu 20 Jalan Kuching-Serian, dekat sini semalam.

Menurut sumber, kesemua lelaki berusia 17 tahun itu yang berasal dari Pantu, Sri Aman semasa kejadian menaiki sebuah kereta jenis Toyota Unser menuju ke arah pusat bandar raya sekitar jam 11 pagi.

Difahamkan, kereta jenis MPV yang dipandu seorang daripada remaja terbabit tiba-tiba hilang kawalan dipercayai ketika cuba mengelak melanggar sebuah kenderaan lain lalu terbabas dan terbalik di tepi jalan raya berkenaan.

“Mereka (mangsa) dari Pantu, Sri Aman dan dikatakan dalam perjalanan ke sini (Kuching) untuk bercuti serta mengikuti seminar, namun hasrat tersebut tidak kesampaian apabila kereta yang dinaiki mereka terbabas.

“Menurut saksi, terdapat sebuah kereta berhenti secara tiba-tiba kerana mengalami kerosakan pada tayar, menyebabkan mereka mengelak dari terlanggar kereta berkenaan lalu terbabas,” kata sumber.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata beberapa anggota termasuk dari unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dikerahkan ke tempat kejadian untuk bantuan kecemasan.

“Tiada mangsa yang tersepit, empat mangsa mengalami kecederaan di bahu, tangan dan mengadu sesak nafas manakala dua orang lagi hanya mengalami kecederaan ringan.

“Pasukan unit EMRS telah menghantar dua mangsa yang mengalami kecederaan yang serius ke Hospital Umum Sarawak (HUS),” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini semalam.

Selain itu, empat lagi mangsa turut dihantar ke HUS oleh pihak ambulans untuk pemeriksaan lanjut.

Anggota dari cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan juga hadir di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.