Remaja maut selepas motosikal terbabas langgar tiang elektrik

0

KEPALA BATAS: Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas dan melanggar tiang elektrik yang terdapat di tepi jalan di Jalan Pokok Jenerih, di sini malam kelmarin.

Jurucakap polis berkata dalam kemalangan kira-kira jam 10.50 malam itu, Muhamad Faridzuan Muhamad Faizelie, 18, yang bekerja di sebuah restoran makanan segera di Kepala Batas meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.

“Mangsa menunggang dari arah Bertam menuju ke Tasek Gelugor dan difahamkan remaja itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Lunas, Kedah. Kesan daripada melanggar tiang elektrik itu, menyebabkan mangsa tercampak beberapa meter di atas jalan,” katanya di sini semalam.

Katanya mayat mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Azmi Adam ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. — Bernama