Pemuda dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke sungai

0
TERJATUH DI SINI: Anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) turut membantu pihak bomba dalam usaha mencari dan menyelamat mangsa.

TERJATUH DI SINI: Anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) turut membantu pihak bomba dalam usaha mencari dan menyelamat mangsa.

Mangsa dipercayai cuba melompat ke kapal sebelah

Oleh Michael Ubam //

SIBU: Seorang pemuda yang sedang menjalani latihan praktikal di sebuah limbungan kapal dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke sungai di sebuah limbungan kapal di Sungai Antu di sini, petang kelmarin.

Mangsa dikenali sebagai Ricky Rekardo George, 22, berasal dari Rumah Ragai Sungai Gaat, Kapit dikatakan baharu bekerja sambil belajar di limbungan kapal tersebut sejak dua minggu lepas.

Mangsa dikatakan terjatuh ketika cuba melompat ke kapal bersebelahan dan terus hilang dibawa arus deras.

Difahamkan, seorang rakan mangsa, 22,  yang terdengar bunyi kocakan air seperti ada sesuatu terjatuh ke sungai bertindak memeriksa keadaan dan mendapati Ricky berada di permukaan air.

Rakan mangsa kemudian memaklumkan kepada rakan-rakan lain, namun apabila mereka pergi ke belakang kapal, mangsa sudah tidak kelihatan lagi.

Difahamkan, mangsa ada memakai topi keselamatan dan sepasang kasut semasa terjatuh ke sungai.

Sebelum kejadian, mangsa keluar makan malam di sebuah restoran berdekatan.

Penyelia kapal ketika ditemui memberitahu, sebelum insiden tersebut, pihak syarikat telah mengadakan taklimat keselamatan kepada semua anak kapal untuk mengelak berlakunya sebarang insiden yang tidak diingini.

Pasukan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat yang menerima panggilan kecemasan pada jam 7.15 malam mengerahkan pasukan penyelamat seramai empat orang diketuai oleh PBKII Joseph Dea dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah ke lokasi kejadian.

Sehingga berita ini ditulis, mangsa masih belum ditemui dan usaha mencari dan menyelamat masih dijalankan.