Peniaga tempatan disaran rebut peluang perniagaan

0

TAWAU: Peniaga kecil-kecilan di daerah Tawau disaran supaya meningkat ekonomi mereka dengan berniaga dalam kepelbagaian perniagaan.

Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat, Datuk Hamisa Samat berkata, semua peniaga kecil-kecilan mempunyai tempat dalam ekonomi ini tetapi bergantung kepada kepandaian dan keupayaan mereka untuk merebut peluang berkenaan.

Beliau berkata banyak peluang disediakan kerajaan tetapi ramai yang tidak mengambil peluang.

“Kalau kita tengok sektor pelancongan, ramai pengusaha yang berpuas hati dengan jumlah kemasukan pelancong.

‘‘Orang berniaga yang ingin mendapat faedah dalam ekonomi perlu berubah mengikut hala tuju ekonomi itu sendiri.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Pembukaan Pasar Ekononi Tanjong Batu Tengah, di Dataran Pasar Ekonomi Tanjog Batu Tengah, anjuran Persatuan Usahawan Bergerak Melayu Sabah baru-baru ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Persatuan Usahawan Bergerak Melayu Sabah Kadir Ahmad serta ahli-ahli persatuan.

Hamisa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu menambah, peniaga kecil-kecilan juga tidak akan tercicir sekiranya mereka kekal bersama trend perubahan dalam pasaran dengan menyediakan khidmat tambahan bagi menarik pelanggan.

Ujarnya, keberkesanan menambah baik sesebuah perniagaan memang terbukti berkesan kepada semua jenis perniagaan.

Jelasnya, Pasar Ekonomi ini merupakan langkah permulaan bagi peniaga kecil-kecilan Bumiputera untuk menjadi tempat memasarkan pelbagai produk pertanian mereka.

“Saya berasa gembira apabila mendapati rakyat dan peniaga tempatan memanfaatkan peluang dan kesempatan sempena pelancaran Pasar Ekonomi ini untuk memasarkan hasil-hasil pertanian mereka bagi menjana pendapatan keluarga.

“Rakyat perlulah sentiasa menyedari bahawa kerajaan tidak pernah mengabaikan aspek pembangunan dan nasib rakyat di luar bandar termasuk di Tawau,” katanya.