Penyelidikan, pembangunan dalam sukan penting: Ong

0

KUCHING: Penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam sukan penting untuk membantu mengembangkan bidang berkenaan di Sarawak.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Negeri Sarawak (SSC), Dr Ong Kong Swee berkata setakat ini Sarawak masih belum mengaplikasikan R&D dalam sukan dan antara faktor merencatkan perkembangan sukan di negeri ini.

Jelasnya, ketiadaan amalan berkenaan dalam bidang sukan di Sarawak antara faktor SSC ditubuhkan dalam usaha mempraktik dan meluaskan penggunaan R&D dalam sukan.

“R&D bermaksud kajian secara terperinci terhadap setiap acara sukan dalam usaha meningkatkan prestasi sukan berkenaan.

Contohnya, apa yang kamu perlu lakukan apabila program latihan yang dijalankan tidak efektif.

“Jika kamu perlukan bantuan pakar dari Institut Sukan Negara (ISN), kita akan sediakan untuk memastikan program latihan dilaksanakan berjaya,” katanya ketika ditemui di sini.

Sehubungan itu, Ong yang juga Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) berkata SSC dalam proses menubuhkan pasukan R&D mereka sendiri yang ditugaskan membantu melatih jurulatih.