38 motosikal musnah, tiga kereta rosak dalam kebakaran di Taman Jelutong

0

GEORGE TOWN: Sebanyak 38 motosikal musnah manakala tiga kereta rosak dalam kebakaran di Blok B, Flat Taman Jelutong di sini, awal pagi semalam.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, Penguasa Bomba Kanan II Zulkifli Ramli berkata dalam kejadian pada jam 6.22 pagi itu, stor, sebuah Proton Saga dan dua Toyota Camry yang diletakkan tidak jauh dari kawasan berkenaan, turut rosak akibat terbakar.

Menurut Zulkifli, dua jentera bersama 14 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian dengan jentera pertama dari BBP Jalan Perak tiba kira-kira dua minit selepas kejadian.

“Semasa tiba di lokasi kejadian, sebahagian daripada 38 motosikal yang diletakkan di bawah blok rumah flat itu sedang terbakar,” katanya di sini semalam.

“Semua motosikal itu musnah keseluruhan manakala tiga kereta berkenaan hanya terbakar 10 peratus,” katanya menambah kebakaran berjaya dipadamkan pada jam 6.50 pagi.

Zulkifli berkata punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu seorang pemilik motosikal yang terbakar, Azelan Mohd Jamal, 32, berkata semasa kejadian dia sedang bersiap untuk ke tempat kerja di Bayan Lepas sebelum terdengar orang menjerit memaklumkan insiden berkenaan.

“Saya tinggal di tingkat dua dan terus turun untuk tengok apa yang berlaku dan ketika itu nampak api sedang marak di kawasan letak motosikal, saya cuba ambil motosikal Honda Ex-5 saya, tapi tidak sempat,” katanya.

Beliau berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan berhubung kejadian kebakaran itu kerana ia dipercayai perbuatan khianat yang merosakan harta benda penduduk. — Bernama