Jabatan Peguam Negara hentikan pendakwaan terhadap Azmi Sharom

0

PUTRAJAYA: Jabatan Peguam Negara memberhentikan pendakwaan terhadap pensyarah undang-undang Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Azmi Sharom selepas menggugurkan pertuduhan hasutan terhadapnya.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata keputusan itu dibuat selepas mengkaji keterangan semua saksi pendakwaan yang telah memberi keterangan di mahkamah.

“Demi menegakkan keadilan, dan setelah mengkaji keterangan daripada semua saksi pendakwaan yang telah memberi keterangan di Mahkamah, saya, Peguam Negara Malaysia selaku Pendakwa Raya mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, dalam menggunakan budi bicara saya, memutuskan untuk memberhentikan pendakwaan ke atas Prof Madya Dr Azmi Sharom untuk pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948,” kata beliau.

Apandi berkata tindakan untuk memberhentikan pendakwaan mengikut Akta Hasutan pernah dilakukan dalam kes Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim sebelum ini.

Katanya Jabatan Peguam Negara dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan pendakwaan secara adil dan saksama.

“Dalam menjalankan fungsi ini di bawah undang-undang, amalan mengkaji semula kes-kes jenayah yang telah dipertuduhkan di Mahkamah, telah dan akan diteruskan,” kata Apandi.

Azmi, 46, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menyebut perkataan menghasut berhubung komennya dalam berita bertajuk ‘Take Perak crisis route for speedy end to Selangor impasse, Pakatan told’.

Beliau didakwa menyatakan perkataan menghasut itu di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Jalan Hang Tuah, pada jam 12.30 tengah hari, 15 Ogos 2014.

Azmi, yang juga Presiden Persatuan Kakitangan Akademik UM, juga telah didakwa terhadap pertuduhan pilihan iaitu menerbitkan perkataan menghasut berhubung krisis sama, pada masa dan tempat yang sama.

Pada 14 Jan lepas, pendakwaan menutup kes mereka selepas memanggil empat saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan terhadap Azmi. Timbalan pendakwa raya dan peguam Azmi, Gobind Singh Deo dijadualkan untuk mengemukakan hujahan mereka pada 19 Feb ini.

Pada 6 Okt tahun lepas, Mahkamah Persekutuan memutuskan Akta Hasutan ialah undang-undang yang sah selepas menolak permohonan Azmi yang mencabar perlembagaan Akta Hasutan. — Bernama