Loji rawatan air perlu disegerakan

0

KUALA PENYU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu, Limus Jury meminta kerajaan agar dapat menyegerakan pelaksanaan projek pembinaan Loji Rawatan Air Moden yang bernilai RM50 juta di Menumbok tahun ini.

Menurutnya, pelaksanaan berkenaan wajar disegerakan kerana projek terbabit telah pun mendapat kelulusan daripada kerajaan tahun lalu.

Jelas Limus, projek pembangunan seumpama ini perlu diberi keutamaan untuk dibina memandangkan rakyat terutama di kawasan Menumbok sering menghadapi masalah berhubung isu bekalan air bersih.

“Saya berharap kerajaan menerusi kementerian bertanggungjawab dapat menyegerakan segala proses berkaitan projek ini supaya pembinaan loji ini dapat dilaksanakan pada tahun ini, demi manfaat rakyat di kawasan ini,” katanya.

Belau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis Rumah Terbuka Sempena Tahun Baharu Cina di kediamannya di Kampung Melampai, pada hari kedua sambutan perayaan itu.

Turut hadir pada majlis rumah terbuka beliau termasuklah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Presiden Upko Datuk Madius Tangau, Ketua UMNO Bahagian Beaufort Datuk Isnin Aliasnih dan Timbalan Speaker Sabah Datuk Johny Mositun.

Limus berkata, projek perintis yang bakal menggunakan teknologi baharu membabitkan proses penyulingan air payau untuk dijadikan air bersih itu dijangka mengambil masa sehingga dua tahun untuk disiapkan.

Menurutnya, loji air berkenaan juga mampu membekalkan kapasiti sehingga empat juta liter air bersih setiap hari secara berterusan malah ia lebih menjimatkan berbanding loji air sedia ada ketika ini.

“Kos penyaluran bekalan air daripada loji ini juga lebih menjimatkan kerana sumber air diperolehi daripada lokasi berdekatan berbanding loji sedia ada di Beaufort pada masa ini,” katanya.

Dalam pada itu, Limus memaklumkan pihaknya bersama beberapa agensi kerajaan telah melaksanakan penghantaran air bersih kepada penduduk yang terjejas akibat kemarau sejak Januari lalu.

“Saya sendiri telah menyediakan tiga buah lori tangki air, di samping dua buah kenderaan sama disediakan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membekalkan air kepada penduduk di 15 buah kampung di kawasan ini yang terjejas teruk.

“Kira-kira 400 gelen dibekalkan kepada setiap rumah sejak penghantaran ini dimulakan bulan lalu dan bantuan ini akan diteruskan sehingga keadaan kembali pulih,” katanya.