Mangsa kebakaran PPR Setapak ditawar rumah baharu

0

KUALA LUMPUR: Mangsa kebakaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas, Setapak bersyukur apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menawarkan rumah baharu untuk mereka.

Seorang mangsa Noriza Ninggal, 50, merasa lega di atas segala bantuan yang dihulurkan kepada mereka.

Beliau berkata beliau memilih untuk menetap di rumah baharu itu setelah kediaman yang didiami sejak lapan tahun lepas musnah dalam kebakaran petang semalam.

Noriza yang bekerja sebagai pembantu jualan di pusat beli-belah di Wangsa Maju menerima kunci rumah yang disampaikan Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari semalam.

Beliau turut menerima bantuan kewangan dan barangan persekolahan daripada Yayasan Wilayah Persekutuan dan Parlimen Setiawangsa serta barangan keperluan lain serta makanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Ahmad Fauzi pada sidang medianya berkata mangsa diberi pilihan sama ada untuk tinggal di rumah baharu atau tinggal di rumah asal mereka selepas dibaiki.

“Kerja pembaikan rumah yang terbakar mungkin mengambil masa kira-kira tiga bulan.

Mereka boleh tinggal di rumah baharu itu secara percuma tanpa perlu membayar sewa dalam tempoh tersebut,” katanya. — Bernama