Sempadan diperkasa

0

Oleh Mohd Shafik Ahmad//

TAHNIAH: Hishammuddin bersama memakaikan pangkat Lans Koperal kepada Prebet Nor Sharani Shamsul Kamal selepas melawat Pos Gabungan ATM-TNI, semalam. — Gambar Bernama

TAHNIAH: Hishammuddin bersama memakaikan pangkat Lans Koperal kepada Prebet Nor Sharani Shamsul Kamal selepas melawat Pos Gabungan ATM-TNI, semalam. — Gambar Bernama

SEMATAN: Kementerian Pertahanan Malaysia akan menubuhkan 31 Briged Sempadan bagi memperkukuhkan kawalan sempadan dan keselamatan negara.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata penubuhan itu bagi meningkatkan keupayaan tempur dan mengimbangi bebanan tugas serta penguatkuasaan sempadan darat sepanjang 2,019.5 kilometer (km) antara Sabah, Sarawak dan Kalimantan.

Menurutnya, ia merupakan penubuhan briged kedua selepas 30 Briged Sempadan ditubuhkan di utara Semenanjung Malaysia.

“Agenda ini bagi memastikan keselamatan di Sarawak terjamin dari sebarang ancaman jenayah rentas sempadan.

“Kita tidak akan pandang ke belakang dalam soal keselamatan ini dan berharap penubuhan (31 Briged Sempadan) ini diterima baik semua,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pos Gabungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)-Tentera Nasional Indonesia (TNI) di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Mohd Johari Baharum dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi.

Hishammuddin berkata, penubuhan briged itu akan diperkuatkan dengan lima batalion Rejimen Sempadan (RS) yang ditempatkan dari utara hingga selatan bagi mengawasi perbatasan sempadan Sarawak dengan Kalimantan Barat dan Kalimantan Timur.

Beliau menjelaskan, pos-pos di sempadan akan ditambah begitu juga dengan jumlah anggota yang akan ditempatkan di lokasi kawalan.

Selain itu, katanya, ia membolehkan lebih 1,000 anggota dari Askar Wataniah diserap sebagai askar sepenuh masa di bawah briged tersebut.

“Setakat ini proses merekrut anggota baharu sedang berjalan dan sambutan yang diterima memang luar biasa.

“Jadi penubuhan ini bukan sahaja memperkukuhkan kawalan keselamatan, malah membuka peluang pekerjaan kepada golongan muda menjadi anggota keselamatan,” katanya.

Difahamkan, pembinaannya akan mula dilaksanakan dalam masa terdekat dan markas 31 Briged Sempadan akan ditempatkan di Bintulu.